ANTARA botol mengandungi cecair dipercayai air ketum yang dirampas. FOTO ihsan Polis
ANTARA botol mengandungi cecair dipercayai air ketum yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Mohd Hasbi Sidek


Petaling Jaya: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menahan lapan anggota polis ketika berjudi di kedai makan di Jalan PJS 8/15, Bandar Sunway, di sini, petang tadi.

Dalam serbuan kira- kira 2 petang itu, pasukan berkenaan turut merampas 50 botol yang mengandungi cecair dipercayai air ketum.

Difahamkan, lapan anggota polis itu ditahan bersama dua orang awam ketika bermain 'judi 21'.

Sumber polis berkata, tangkapan membabitkan seorang konstabel dan tujuh lans koperal dari Balai Polis Sungai Way, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Taman Melawati berusia dari 26 hingga 52 tahun.

"Ketika serbuan, seorang anggota berpangkat lans koperal sempat meloloskan diri. Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Way," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din mengesahkan tangkapan itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 10:55 PM