KERJA-kerja perobohan dalam Ops Roboh di Petaling Jaya. FOTO Ihsan PDRM
KERJA-kerja perobohan dalam Ops Roboh di Petaling Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hasbi Sidek


MAJLIS Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya merobohkan struktur binaan haram berhampiran blok G, Mentari Court, dekat Sungai Way, Petaling Jaya, pagi tadi.

Ops Roboh yang bermula 7.30 pagi, merobohkan lima premis yang dijadikan kedai runcit, kedai makan, kedai gunting rambut dan kedai cuci kereta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, 24 pegawai dan anggota dari IPD Petaling Jaya terbabit membantu dalam operasi berkenaan.

"Kami difahamkan premis berkenaan dibina secara haram di atas tanah milik kerajaan dan dimiliki oleh penduduk tempatan, namun pekerja terdiri daripada warga asing dari Bangladesh dan Pakistan.

"Sebanyak lima premis haram dirobohkan membabitkan sebuah kedai runcit, dua kedai makan, sebuah kedai gunting rambut dan sebuah kedai cuci kereta," katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan MBPJ itu berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang rusuhan atau protes daripada pemilik premis malah pemilik juga berada di lokasi sepanjang operasi berjalan.

"Bagi melancarkan lagi urusan perobohan, operasi turut disertai wakil Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah Daerah Petaling serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

"Operasi tamat pada 10.30 pagi dan keadaan terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 4:53 PM