Nor Akmar Samudin


Jelitawan Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan atau Aish dianugerahkan ‘Outstanding Celebrity of The Year’ pada majlis Outlook Attends Outlook Business Outstanding Women Award di Mumbai, India, baru-baru ini.

Dia yang muncul pada majlis itu menggayakan gaun rekaan Manish Malhotra, melepaskan rambutnya ke bahu dan bersolek tipis, sekali gus menyerlahkan keanggunannya sehingga ramai yang terpukau memandangnya.

Berkongsi kegembiraannya menerima anugerah itu, Aish berkata, setiap hari dia cuba menjadi orang yang terbaik.

Aish berkata, pengalaman terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya ialah kelahiran anak sulungnya, Aaradhya empat tahun lalu.

Sememangnya, Aish seorang ibu yang sangat penyayang dan si kecil itu sentiasa dibawa ke mana sahaja termasuk ketika pelakon itu ke Perancis memenuhi jemputan ke Festival Filem Cannes setiap tahun.

Menurut sumber, Aish menyifatkan menjadi ibu adalah anugerah terindah pernah dimilikinya.

“Menjadi ibu menyempurnakan hidup saya, rasa direstui dan disayangi,” kata Aish.

Isteri pelakon Abhishek Bachchan itu memulakan kerjaya seninya dalam iklan komersial pensel dan kemudian menjadi model sebelum memulakan karier lakonan di Bollywood.

Filem pertama lakonannya ialah filem Tamil arahan Mani Ratnam berjudul Iruvar pada 1997.

Pada tahun sama dia muncul dalam filem Hindi, Aur Pyaar Ho Gaya menggandingkannya dengan Bobby Deol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 11:34 AM