KANSER mengikat persahabatan Wong dan Sun Nee.
KANSER mengikat persahabatan Wong dan Sun Nee.
DR ADEL
DR ADEL
Norlaila Hamima Jamaluddin


Bergegar hatinya apabila doktor menganggarkan dia hanya boleh hidup selama setahun. Pada usia 29 tahun dia disahkan menghidap kanser usus peringkat akhir - penyakit yang biasanya dialami golongan pertengahan umur.

Berhari-hari Seau Sun Nee (yang lebih mesra dipanggil Sun Nee) menangis mengenangkan nasib diri dan setiap langkahnya dirasakan seperti menuju ke arah kematian apatah lagi selepas melihat beberapa doktor yang menemuinya menggeleng kepala apabila mengetahui penyakitnya itu.

Itu kenyataan yang amat pahit untuk ditelan, malah keluarga terutama ibunya juga sukar menerima hakikat berkenaan.

“Sebenarnya itu berita yang mengejutkan kerana tiada sejarah kanser dalam keluarga saya. Simptom yang saya alami hanyalah sakit pada bahagian tepi perut terutama apabila ketawa. Saya terus berjumpa doktor dan diberikan ubat untuk saraf. Rasa sakit datang kembali beberapa bulan selepas itu menyebabkan perut rasa tidak selesa.

“Sehari sebelum berjumpa doktor pakar, perut saya sangat sakit dan dibawa ke wad kecemasan. Daripada ujian imbasan bunyi, didapati ada bayang yang besar dalam usus saya. Kata doktor ia tidak kelihatan seperti ketumbuhan biasa.

“Saya jalani imbasan CT untuk melihat usus dan hati. Selepas itu doktor mencadangkan saya jalani imbasan CT bagi paru-paru pula kerana biasanya bagi kanser usus yang bergerak ke atas, ia akan turut membabitkan hati dan paru-paru. Seperti yang dijangka, kanser sudah merebak ke hati dan paru-paru. Ada tiga ketumbuhan di hati (bersaiz 13 sentimeter) dan dua bintik kecil pada paru-paru saya,” katanya tenang ketika ditemui di Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Dengan keadaan saya ketika itu, tidak hairanlah jika kebanyakan doktor mengatakan mungkin hanya boleh hidup setahun saja. Ketika itu saya sudah berputus asa. Namun, nasihat seorang pakar bedah yang mengatakan doktor bukan tuhan dan tiada siapa tahu bila kita akan mati - menguatkan semangat saya. Bak kata pepatah Melayu, ‘berpantang ajal sebelum mati’,” kata Sun Nee yang kini berusia 35 tahun.

Dia mula meneroka pelbagai laman web bagi mencari maklumat mengenai kanser usus sebagai persediaan menerima rawatan. Masalah utamanya ialah bayaran rawatan. Dia mengeluarkan semua simpanannya untuk menjalani menjalani pembedahan usus - ususnya dipotong sepanjang 30 sentimeter (12 inci) bagi membuang kanser yang saiznya sebesar penumbuk orang dewasa.

Ia disusuli kemoterapi sebanyak 24 kitaran. Dalam empat bulan pertama, keputusan rawatan memberangsangkan. Kanser di hati mengecut menjadi lima sentimeter. Pada 2011, dia menjalani pembedahan kedua iaitu pembedahan membuang kanser di hati dengan kos RM29,000 pada 2011.

“Selepas dua pembedahan itu, saya ambil keputusan bercuti di Itali selama tiga bulan untuk bertemu teman lelaki di sana. Selain keluarga, dia banyak memberi sokongan kepada saya dari segi emosi dan kewangan.

“Balik ke tanah air, sekali lagi saya jalani ujian kesihatan dan keputusannya negatif. Saya dinasihatkan menunggu tiga bulan untuk ujian selanjutnya.

“Pada masa sama, rawatan kemoterapi tetap diteruskan namun ia sudah tidak memberi kesan kepada saya. Sedih juga kerana untuk memulakan rawatan lain membabitkan kos yang sangat tinggi.

“Apabila Dr Adel Zaatar mencadangkan nama saya dimasukkan dalam program rawatan baru yang dipanggil Named Patient Programs (NPP) dan kos ditanggung oleh pengeluar ubat, saya terus setuju,” katanya sambil tersenyum.

Menurut Sun Nee, kesan sampingan rawatan yang meningkatkan tekanan darahnya dianggap perkara kecil berbanding kanser itu sendiri. Sejak disahkan menghidap kanser pada 2010, hospital sudah jadi rumah keduanya. Sampai hari ini, setiap dua minggu dia akan ke hospital bagi menerima rawatan.

“Sekarang saya tidak mahu bersedih lagi. Saya bersyukur, tuhan masih memanjangkan hayat saya. Jadi setiap kali selepas rawatan, saya akan lakukan perkara yang menggembirakan seperti berjalan-jalan di kompleks beli-belah dan cuba cari aktiviti bagi memenuhi masa.

“Saya kena kuat dan ‘sihat’. Saya jaga pemakanan dengan mengambil jus buah, sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan daging merah. Saya juga selalu bersenam kerana saya tahu untuk menjaga pesakit yang tenat bukan mudah. Saya tidak mahu menyusahkan keluarga terutama emak kerana kami bukan orang berada,” kata penghidap haemofilia minor itu.

Kanser juga mengubah pandangannya terhadap kehidupan. Dia mula percaya kewujudan tuhan, belajar menerima takdir dan bersyukur dengan setiap perkara dalam hidupnya. Malah dia juga menjadi individu yang lebih sabar dan sentiasa berfikiran positif.

Terima takdir dengan senyuman

Kisah Wong Siew Kon, 62, tidak banyak bezanya dengan Sun Nee. Pada 2009, nenek kepada lapan cucu itu disahkan menghidap kanser usus tahap akhir yang datang ke hospital selepas mengalami simptom sakit perut, sukar buang air, kekerapan buang air berkurang dan najisnya pula bersaiz kecil.

Apabila diperiksa, rupanya kanser usus yang dialaminya sudah merebak ke perut, hati, paru-paru dan nodus limfa - keadaan yang boleh meruntuhkan semangat sesiapa saja.

“Sedih dan terkejut. Namun kesedihan tidak lama dan nasib saya tidaklah malang sangat kerana dalam dunia ini bukan saya seorang yang menghidap kanser. Lagipun suami, anak dan cucu banyak memberi sokongan. Saya ikut apa saja saranan doktor kerana mereka lebih arif dalam soal ini.

“Selepas pembedahan usus, saya menjalani rawatan kemoterapi. Ini saat yang agak sukar. Bukan rambut saja gugur, kaki membengkak dan kulit pula menggelupas jadi terlalu nipis hingga boleh berdarah. Itu kesan sampingan ubat dulu.

“Selama tiga tahun saya alami keadaan itu sehinggalah badan tidak lagi menunjukkan tindak balas positif pada ubat berkenaan. Kemudian doktor mencadangkan saya mengambil rawatan baru di bawah program NPP pada 2012 dan kanser menemukan saya dengan Sun Nee,” katanya lembut.

Menurut Wong, dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai penyakitnya. Berjaya melepasi saat sukar, boleh bertahan sehingga sekarang dan diberi peluang melihat cucu membesar baginya adalah satu anugerah yang tidak ternilai.

“Bohonglah kalau saya tidak menangis. Saya dan Sun Nee seperti anak dengan emak, saling memberi semangat dan jadi teman menangis. Namun kini kami bertekad untuk tidak mahu bersedih kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan. Saya bersyukur dengan kehidupan sekarang, cuba melihat setiap perkara dari sudut positif.

“Bab makan, saya tidak berpantang. Semua saya makan tetapi dalam kuantiti kecil, kecuali durian seperti yang disarankan doktor dan kawan-kawan lain,” katanya.

Melihat wajahnya yang sentiasa tersenyum, timbul satu persoalan, tidakkah dia takut mati? Wong menggeleng kerana hidup dan mati ini adalah takdir yang sudah ditetapkan.

“Semua orang akan mati. Ia satu ketentuan, cuma sebelum sampai waktu itu, kita perlu berusaha sebaik mungkin mencari penawar jika terpilih menghidap penyakit. Mesti berusaha dan berfikiran positif. Selebihnya kita serahkan kepada tuhan,” katanya.

Harapan baru

NPP ialah satu program yang dirangka dan dipersetujui kerajaan di seluruh dunia dalam usaha memberi peluang pesakit mencuba satu-satu ubat baru sebelum ia diluluskan oleh kerajaan sesebuah negara. Ini adalah program yang menyediakan akses terkawal terhadap ubat baru bagi pesakit terpilih di mana pilihan dilakukan oleh pakar perubatan.

Melalui program ini, pesakit mempunyai akses terhadap ubat terbaru yang berada pada fasa terakhir ujian klinikal atau ia sudah diluluskan di negara lain bagi memenuhi keperluan perubatan, sebelum diberikan lesen di sesebuah negara.

Di bawah NPP membabitkan kanser usus metastatik (kanser sudah merebak ke anggota lain), pesakit yang terpilih diberikan ubat antikanser Zaltrap yang digunakan bersama ubat kemoterapi irinitecan/5-fluorouracil/asid folinik.

Ubat baru ini diberikan kepada pesakit yang tidak lagi menunjukkan tindak balas atau kanser terus berkembang selepas mengambil rawatan mengandungi ubat antikanser lain termasuklah oxaliplatin.

Menurut Pengurus Besar Sanofi Malaysia Kelvin Lam, pihaknya sangat menghargai kerjasama doktor pakar dan pesakit yang mengambil bahagian dalam ujian klinikal menggunakan ubat berkenaan sehingga ia mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan bagi membantu memanjangkan jangka hayat pesakit dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Ia diberikan melalui suntikan intravenus (ke dalam salur darah) selama sejam diikuti rawatan kemoterapi. Ubat ini berfungsi mencegah pembentukan salur darah dalam kanser (angiogenesis) yang secara tidak langsung memperlahankan atau menghentikan pertumbuhan kanser.

Berdasarkan kajian, penggunaan ubat baru ini dapat memperbaiki purata jangka hayat pesakit kanser usus metastatik kepada 13.5 bulan dengan 28 peratus kebarangkalian kelangsungan hidup sehingga dua tahun. Dalam ayat mudah, ia memberi peluang pesakit untuk menikmati kehidupan lebih baik.

Penyebab kanser, kaedah rawatan berbeza

Kanser - tidak kira apa jenisnya masih menjadi penyakit yang menggerunkan. Walaupun boleh berlaku kepada golongan muda, secara umumnya risiko kanser bertambah dengan peningkatan umur terutama selepas 55 tahun.

Satu perkara yang perlu difahami, kanser bukanlah satu jenis penyakit saja. Ia adalah perkataan yang merujuk kepada lebih 100 jenis penyakit malignan (boleh merebak) yang berbeza. Walaupun namanya kanser, tetapi penyebabnya berbeza. Malah rawatan yang diperlukan setiap pesakit juga tidak sama.

Ini kerana penyebab barah itu sangat kompleks dan ia membabitkan kerosakan kepada genetik kita. Jika genetik kita menjadi tidak terkawal, ia boleh menyebabkan kanser. Secara umumnya kanser ialah sekumpulan penyakit yang dicirikan dengan pertumbuhan sel tidak normal yang tidak terkawal dan sel ini boleh merebak ke bahagian badan yang lain.

Menurut Perunding Onkologi dan Radioterapi Pusat Perubatan Gleneagles Pulau Pinang Datuk Dr Adel Zaatar, Persatuan Kanser Amerika menganggarkan satu dalam tiga orang akan menghidap kanser sepanjang riwayat mereka. Pada 2015, 1.7 juta kes baru kanser dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) dan angka ini dijangka bertambah setiap tahun kerana jangka hayat manusia kini semakin panjang selain berlakunya perubahan gaya hidup.

Di AS, lima jenis kanser yang paling lazim ialah kanser payudara, paru-paru, prostat, usus dan buang pinggang yang merangkumi 55 peratus daripada keseluruhan jenis kanser. Kanser usus ialah kanser keempat paling lazim dalam kalangan lelaki dan wanita AS dengan 132,700 kes dikesan pada tahun lalu.

Di negara kita, kanser usus menduduki tangga kedua selepas kanser payudara. Insiden kanser usus menunjukkan peningkatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Faktor risiko

Masih tiada siapa tahu punca sebenar kanser. Namun faktor risikonya boleh dibahagi kepada dua - faktor tidak boleh ubah dan boleh ubah. Antara faktor tidak boleh diubah ialah umur, jantina dan keturunan. Faktor boleh ubah termasuk pemakanan tidak sihat, sejarah keluarga, radiasi ultra lembayung, pendedahan terhadap bahan kimia tertentu, jangkitan virus dan bakteria, pengambilan alkohol, kurang bersenam, obesiti dan merokok.

Antara cara mengurangkan risiko kanser usus ialah mengambil makanan tinggi serat sekurang-kurangnya lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari, memilih bijirin penuh dan mengurangkan lemak tepu, makanan diproses serta daging merah.

Rawatan kanser usus metastatik

Rawatan untuk kanser usus termasuk pembedahan, radioterapi, kemoterapi dan terapi bersasaran yang menggunakan agen antikanser seperti Bevazicumab, Cetuximab, Regorafinib dan Aflibercept yang berperanan khusus mengganggu pertumbuhan kanser.

Kini pesakit kanser usus metastatik (yang merebak selepas kemoterapi) mempunyai pilihan rawatan selanjutnya seperti Zaltrap (Aflibercept) bagi mengawal penyakit dan memperbaiki kualiti hidup.

Berdasarkan ujian imbasan CT ke atas pesakitnya yang diberikan Aflibercept menunjukkan penyakit mereka terkawal selain mengalami kurang kesan sampingan.

“Namun apa yang paling penting ialah pengesanan awal. Ini kerana sepertiga kes kanser boleh dicegah, sepertiga kes boleh disembuhkan jika mendapat rawatan awal dan sepertiga lagi penyakit boleh dikawal serta menikmati kehidupan yang baik jika menerima rawatan sewajarnya.

“Apa yang menyedihkan, sampai sekarang 50 peratus pesakit kanser usus lewat mendapatkan rawatan. Meskipun kini kesedaran sudah meningkat tetapi kempen pendidikan perlu diteruskan supaya lebih ramai orang peka terhadap penyakit ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 1:04 PM