GUO Xinglan (tengah) bersama saudara-maranya di bilik hotelnya berhampiran hospital kanser.
GUO Xinglan (tengah) bersama saudara-maranya di bilik hotelnya berhampiran hospital kanser.
LI Xiaohe tinggal di bilik sempit sepanjang tempoh rawatan kemoterapinya.
LI Xiaohe tinggal di bilik sempit sepanjang tempoh rawatan kemoterapinya.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Li Xiaohe cuba menyesuaikan diri untuk tinggal lama dalam bilik kecil di barat Beijing, tidak jauh dari hospital kanser terkemuka di China. Dalam bilik sempit itulah dia menjemur pakaiannya manakala suaminya memasak di dapur awam yang disediakan untuk semua penghuni di situ.

Bilik hotel itu menjadi rumah keduanya sepanjang tempoh dia menerima rawatan kemoterapi selama 84 hari selepas menjalani pembedahan pembuangan payudara sebelah kanan.

Wanita bersuara lembut berusia 43 tahun yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan di wilayah Henan itu tinggal di sebuah ‘hotel kanser’ yang semakin banyak muncul di sekitar hospital. Kehadiran hotel kanser ini memang sangat diperlukan kerana ia menyediakan tempat tinggal yang berpatutan harganya dan selesa sementara pesakit menunggu giliran temu janji dan rawatan susulan.

Peningkatan kes kanser paru-paru, usus dan payudara di China memberi ruang kemunculan hotel seperti ini di bandar besar seperti Beijing dan Shanghai. Pakar perubatan bagaimanapun melihat tindakan pantas pengusaha hotel bajet seperti itu sebagai gambaran kepada krisis kesihatan yang semakin mencabar di China. Ia juga menunjukkan sistem perubatan di China tidak bersedia untuk berhadapan dengan peningkatan jumlah pesakit seperti sekarang.

“Rawatan yang ada di kampung tidak sama dengan di bandar besar. Inilah sebabnya kami datang ke sini,” kata Li sambil duduk di bilik yang kecil. Tilam saja sudah hampir memenuhi ruang biliknya.

“Di kampung, insurans saya meliputi 85 peratus kos rawatan. Kalau insurans dapat bayar 50 peratus kos rawatan di sini pun sudah cukup baik. Memang susah, tetapi saya sanggup demi kesihatan. Saya mencari rawatan terbaik,” katanya.

Pesakit seperti Li sanggup merantau jauh mencari kaedah perubatan terbaik kerana berasakan rawatan di tempat sendiri tidak mencukupi. Malah ramai sanggup ‘berkampung’ di kawasan berhampiran hospital untuk menunggu giliran mereka mendapat rawatan.

Meskipun insurans perubatan kerajaan hanya meliputi sebahagian kecil kos rawatan di bandar besar seperti Beijing berbanding di tempat sendiri, tetapi mereka tidak kisah.

Makin ramai hidap kanser

Hotel kanser yang kebanyakannya beroperasi secara tidak rasmi, tidak menyediakan khidmat penjagaan kesihatan tetapi ia tetap menjadi pilihan pesakit kerana kedudukannya yang berdekatan dengan hospital. Di sini, pesakit boleh memasak sendiri, bertemu dan berkongsi pengalaman dengan pesakit lain.

Walaupun dipanggil hotel, ia bukanlah hotel dalam erti kata sebenar. Ia adalah pangsapuri yang dilengkapi perabot asas yang berhampiran dengan hospital. Caj yang dikenakan pula agak murah, hanya RM26 semalam untuk satu bilik.

Doktor pula sering merujukkan pesakit kepada pengusaha hotel bagi mendapatkan penginapan murah, malah media kerajaan juga menulis rencana mengenainya dan memperjelaskan fungsinya dalam memenuhi keperluan semasa.

Hotel kanser ini menggambarkan keadaan sebenar masalah kesihatan yang semakin meruncing di China. Jumlah pesakit barah paru-paru contohnya melonjak 16 peratus dalam tempoh dua tahun. Berdasarkan data kerajaan, kadar barah paru-paru di Beijing saja meningkat 60 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Menurut data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kadar kematian akibat kanser paru-paru bertambah daripada 50 bagi 100,000 lelaki pada 2000 kepada hampir 60 orang bagi 100,000 lelaki dalam tempoh 12 tahun. Kadar barah payudara juga sudah meningkat dengan jumlah kematian hampir sama dengan mangsa kanser paru-paru.

Sebagai perbandingan, kadar kematian akibat kanser paru-paru pada pesakit lelaki di Amerika Syarikat menurun daripada 55 bagi 100,000 orang pada 2000 kepada 40 kes bagi setiap 100,000 orang pada 2012. Di Brazil pula, kadarnya menurun daripada 25 kepada 20 pada 2012 berbanding 12 tahun sebelumnya.

Selain jumlah perokok yang tinggi, pencemaran udara yang teruk juga menyumbang kepada masalah ini, kata Angela Pratt, yang mengetuai usaha kawalan tembakau dan penyakit tidak berjangkit seperti kanser dan sakit jantung kendalian WHO di China.

“Kadar kanser, iaitu jumlah dan kadar kematian kerana penyakit itu semakin meningkat di China. Ia sangat membimbangkan. Ia peningkatan yang besar dalam tempoh yang agak singkat. Saya boleh katakan, ini keadaan yang kritikal,” katanya.

Bukti yang ditunjukkan di Hospital Kanser Beijing cukup jelas apabila ratusan pesakit sesetengahnya masih mengheret beg pakaian memenuhi koridor hospital menunggu nama mereka dipanggil. Bagaimanapun, pihak hospital menolak permintaan wartawan untuk menemu bual doktor atau bahagian pentadbiran. Bahkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Perancangan Keluarga juga tidak memberi maklum balas untuk ditemu bual.

Cui Xiaobo, pakar perubatan yang baru bersara dari Universiti Perubatan Capital di Beijing berkata, perubahan pada sistem perubatan yang masih dalam perbincangan akan memberi pesakit penjagaan yang sama rata tidak kira mereka berada di bandar besar atau luar bandar.

Menurut Cui, gaji doktor di luar bandar biasanya jauh lebih rendah dan perkara ini memaksa mereka cuba merawat sebanyak mungkin pesakit atau mencadangkan rawatan yang tidak perlu bagi mendapat lebih pendapatan.

Hotel kanser penuhi keperluan

Pada pendapatnya, pencemaran udara tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan kadar barah lagi. Jumlah yang dikesan itu mungkin disebabkan jangka hayat yang lebih panjang di China dan semakin ramai warga emas dikesan menghidap kanser paru-paru.

“Tiada punca khusus untuk kanser. Kalau ada, lebih mudahlah untuk merawat dan menyembuhkannya,” katanya lagi.

Apa yang pasti, peningkatan kes kanser di China mengubah negara itu. Pakar perubatan sudah mendokumentasikan ratusan kes ‘kampung kanser’ atau komuniti yang dikesan mempunyai kadar kanser lebih tinggi daripada biasa disebabkan pencemaran daripada kawasan industri berhampiran.

Pada 2013, penduduk China dikejutkan dengan berita seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun disahkan sebagai penghidap kanser paru-paru paling muda di negara itu. Doktor yang merawatnya berkata, hasil pemeriksaan mendapati ia disebabkan oleh pencemaran udara yang sangat teruk di China.

Angela Pratt berkata, selain pencemaran udara, asap rokok, pemakanan kurang sihat dan obesiti turut menyumbang kepada kanser.

“Pencemaran udara kini disahkan sebagai karsinogen, jadi tidak timbul persoalan pencemaran udara yang berlaku di kebanyakan kawasan di China menyumbang kepada peningkatan kadar kanser paru-paru,” sambungnya.

Seperti Li, Guo Xinglan turut tinggal di pangsapuri tiga bilik berhampiran hospital di Beijing. Mereka berkongsi dapur dan peti sejuk yang penuh dengan ubat antikanser.

Gua memberitahu, dia tidak pernah merokok sebelum disahkan menghidap kanser paru-paru beberapa tahun lalu. Wanita dari wilayah Shandong itu berkata, walaupun kini bebas daripada kanser, dia masih ke Beijing untuk menjalani pemeriksaan tahunan.

“Doktor tidak pula beritahu bagaimana saya boleh menghidap kanser. Tiada seorang pun dalam keluarga yang ada penyakit ini, bagaimanapun saya tahu ramai orang di tempat saya yang menghidap kanser,” katanya.

Pemilik hotel kanser, Chen Shuhong berkata, dia melihat keperluan itu (tempat tinggal) semakin meningkat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Dia memulakan perniagaannya dengan pangsapuri yang ditinggalkan oleh bapa saudaranya yang meninggal dunia pada usia 59 tahun akibat kanser paru-paru. Kini dia menyewa 10 pangsapuri untuk dijadikan ‘hotel kanser’ kepada pesakit yang memerlukan.

“Orang cari saya (untuk menyewa bilik), jadi saya buka perniagaan ini. Kalau kerajaan kata ‘jangan buat’, saya akan hentikan. Tetapi kini semakin ramai yang menghidap kanser dan memerlukan tempat tinggal sepanjang mendapatkan rawatan,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 10:38 AM