THE A Street seru band tempatan tingkatkan kualiti.
THE A Street seru band tempatan tingkatkan kualiti.
Oleh Georgie Joseph

Dalam pada memuja band yang sudah menembusi industri muzik arus perdana tempatan, jangan dilupakan juga band kelab yang turut merencanakan kecintaan terhadap muzik dengan cara tersendiri.

Band yang 'cari makan' dengan mengadakan persembahan di kelab mahupun hotel meskipun kerjanya nampak mudah tetapi mereka turut berhadapan dilema tertentu.

Perkara itu sendiri diakui band The A Street yang dianggotai Faudzi (vokal), Leen (vokal), Lan (gitar, keyboard dan vokal), Adi (bass, vokal) dan Boie (dram, vokal) apabila hampir semua penyanyi serta pemuzik itu pernah mengalami detik 'pahit'.

Bukan sekali dua, namun lumrah sudah menentukan perjuangan band sebegitu memang akan terpalit banyak penipuan. Namun begitu, demi kelangsungan kerjaya, semua itu perlu ditelan saja di samping dijadikan pengajaran.

"Nampak saja senang. Iyalah kami hanya perlu menyanyi beberapa jam dalam satu hari. Tapi di sebalik senyuman manis setiap kali berada di pentas, siapa tahu suka-duka yang kami sudah tempuhi.

"Ditipu itu memang sudah lumrah. Mentang-mentanglah kami hanya band yang kurang gah, senang-senang saja diambil kesempatan. Dijanjikan itu ini, tapi lain jadi pada pengakhirannya seperti contoh daripada segi bayaran gaji itu sendiri," kata Leen.

Bahkan, pandangan skeptikal terhadap band tempatan juga antara dilema yang sering membuatkan mereka disisihkan. Apalagi, sekarang ini jika ke kelab atau hotel, kebanyakan penyanyinya diimport dari Filipina.

Senario itu mencetuskan tanda tanya bagus sangatkah band dari luar sehinggakan mereka mendapat permintaan tinggi sekali gus mengurangkan peluang band tempatan kita mendapat kontrak?

Akur dan tidak menafikan band Filipina terutamanya memang ramai yang bagus, namun menurut mereka semua itu berbalik kepada mentaliti masyarakat tempatan juga.

Baik daripada pihak pengurusan hotel mahupun kelab, pengunjung, hinggalah band itu sendiri perlu menimbang balik perhatian terhadap isu berkenaan.

"Memang yang dibawa ke sini itu bagus-bagus tapi bukan semuanya hebat. Bahkan, ada juga faktor lain yang mempengaruhi permintaan pelanggan di mana cita rasa mereka mungkin lebih menjurus kepada mahukan penyanyi seksi.

Dari situlah sebenarnya konsep itu mula cacat kerana perjuangan sesebuah band di tempat sedemikian adalah untuk menjual kualiti muzik mereka. Demikian juga keinginan menghibur dengan menyalurkannya menerusi persembahan, itulah sebenarnya yang menjadi kepuasan kami," katanya.

Apapun, kini sudah lebih enam bulan mengikat kontrak menyanyi di The Camelot, Hotel Royale Chulan Damansara, Mutiara Damansara, The A Street sendiri boleh berbangga kerana pihak pengurusan hotel itu cukup mempercayai mereka.

Berkesempatan menonton sendiri persembahan mereka, memang benarlah pandangan skeptikal bahawa band tempatan kurang bagus berbanding band luar tidak benar.

Tampil dengan repertoire bukan saja lagu masa kini, kehebatan dua penyanyi utamanya Leen serta Faudzi nyata layak dipuji. Begitu juga dengan pemuzik, mereka jelas masing-masing ada kebolehan menyanyi.

"Itulah konsep yang kami mahukan dalam band ini. Meskipun yang lain hanya bermain muzik namun bila kami tahu mereka juga boleh menyanyi, peluang buat mereka berbuat demikian kami sangat alu-alukan," kata Leen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:04 AM