KAMIL di program #tanyaFINAS2.0.
KAMIL di program #tanyaFINAS2.0.
Syanty Octavia Amry


Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sentiasa optimis terhadap pelaburan jangka panjang industri filem melalui strategi pembangunan ekonomi yang bakal dilaksanakan pada masa akan datang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Kamil Othman berkata, FINAS sudah menyediakan input pemerkasaan industri melalui strategi pemba­ngunan ekonomi sebagai cadangan bagi bajet 2017 akan datang apabila ia mampu menjana industri filem ke tahap lebih mampan.

Menurutnya, sebagai contoh pelepasan cukai kepada pelabur berpotensi di dalam projek penerbitan filem mampu menggalakkan pelaburan jangka panjang dalam filem berkualiti melalui suntikan dana dan pelan pemasaran.

“FINAS berperanan memperkasakan strategi pembangunan skrip dan cerita yang baik serta memandu sistem yang lebih efisien bagi menggalakkan penerbit untuk mencari peluang pelaburan daripada pelabur berpotensi di dalam dan luar negara.

“Selain itu, FINAS optimis untuk memperkenalkan insentif eksport bagi pemasaran kandungan tempatan ke luar negara dan memberi fokus kepada pembangunan dasar, teknologi dan penyelidikan industri seperti yang dipromosikan melalui penubuhan ‘Centre of Excellence’ bagi pembangunan kandungan arkib, khazanah serta bahan industri perfileman tempatan melalui teknologi pendigitalan dan restorasi.

“Strategi pelaburan jangka panjang industri juga boleh dimanifestasikan melalui pembangunan infrastruktur seperti Panggung Negara di seluruh negara sebagai platform alternatif tayangan filem tempatan selain di pawagam.

“Ia juga boleh menjadi pusat kebudayaan dan pembangunan komuniti industri filem,” katanya dalam program #tanyaFINAS 2.0 yang diadakan baru-baru ini.

Kamil berkata, adalah menjadi hasrat FINAS supaya pelan pembangunan profesionalisme karyawan melalui sistem akreditasi dan pemantapan ilmu dengan kerjasama persatuan serta universiti tempatan.

Tujuannya bagi menjana penaiktarafan karyawan industri Malaysia dalam ekosistem industri yang baru di dalam pelan jangka panjang.

“Ia juga mampu memantapkan lagi pembangunan tenaga mahir dan karyawan industri kita khususnya bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang karyawan baru industri,”katanya.

Selain itu, Kamil juga menegaskan kepentingan hala tuju dan transformasi industri yang baru dengan merealisasikan industri kandungan sebagai penyumbang kepada ekonomi industri dan negara secara khususnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 5:02 AM