Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah. FOTO BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah. FOTO BERNAMA
Georgie Joseph


KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bakal membawa hasil perbincangan mengenai industri seni kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk pertimbangan dijadikan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan berkata, menerusi perbincangan dengan pelbagai pihak semalam, topik utamanya termasuk langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi membantu penggiat dan karyawan seni kreatif.

"Kerajaan menerusi KKMM mengambil berat terhadap nasib penggiat-penggiat industri kreatif tempatan yang terkesan dari segi ekonomi berikutan wabak COVID-19 yang melanda.

"Pelbagai usaha sedang dan sudah dilaksanakan untuk memastikan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan mampu menjana semula pendapatan dan menjaga kebajikan mereka. Ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

Saifuddin berkata, semalam dia dan pegawai KKMM mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Jabatan Penyiaran (RTM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MY Creative Ventures.

"Perbincangan itu berhubung langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi membantu penggiat dan karyawan seni kreatif terutamanya yang berskala kecil untuk memulakan semula aktiviti masing-masing dalam jangka masa pendek iaitu enam bulan.

"Input-input daripada perbincangan ini akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk pertimbangan dijadikan sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi yang dijangka diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

"Saya sudah meminta setiap agensi kerajaan yang terbabit dalam mesyuarat itu untuk menyenaraikan bantuan-bantuan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya.

Saifuddin berkata setiap agensi perlu menggunakan peruntukan sedia ada masing-masing dan tidak memerlukan sebarang pindaan kepada aspek kawal sedia ada.

"Agensi-agensi terbabit juga perlu memaklumkan mengenai bantuan yang boleh dilaksanakan menggunakan dana sedia ada tetapi memerlukan tindakan lanjut dari aspek kawal selia sedia ada dan perlu kelulusan Kementerian Kewangan.

"Selain itu, saya juga memohon setiap agensi yang berkaitan untuk memberi input mengenai keperluan dana tambahan yang diperlukan daripada Kementerian Kewangan bagi membolehkan bantuan diberikan.

"Saya mengalu-alukan dan menghargai komitmen yang diberikan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya yang bersetuju untuk bekerjasama dengan KKMM menerajui usaha-usaha membantu penggiat industri kreatif memulakan semula aktiviti masing-masing," katanya.

 Saifuddin juga berjanji memanfaatkan Dana Kandungan Digital (DKD) bagi memajukan lagu industri kreatif.

"Bagi pihak KKMM, saya akan memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui DKD melalui agensi-agensi KKMM seperti Finas dan MDEC," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 6:18 PM