Anggota bomba memotong cincin di jari Muhammad Amri yang tersangkut akibat terlupa menanggalkannya sebelum tidur. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Anggota bomba memotong cincin di jari Muhammad Amri yang tersangkut akibat terlupa menanggalkannya sebelum tidur. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Suzalina Halid

Alor Setar: Pelajar tingkatan tiga terpaksa menahan kesakitan kira-kira 30 minit sebelum cincin yang tersangkut di jari hantu kanan ditanggalkan oleh anggota bomba.

Mohamad Amri Mohamad Asri, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang, Pendang, dekat sini, menyedari cincin keluli yang dipakainya tidak boleh dibuka pagi tadi, sebelum dia dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Tiang oleh pihak sekolah.

Penyelia Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Kanan II Mohd Shukri Zulkapri berkata, pelajar berasal dari Kampung Durian itu kemudiannya dibawa ke balai bomba menggunakan ambulans berikutan usaha menanggalkan cincin itu oleh pihak klinik gagal.

"Sebaik pelajar itu tiba di balai bomba pada jam 10.30 pagi tadi, kita lihat jarinya sudah membengkak sebelum pihak kami memulakan operasi memotong cincin berkenaan menggunakan gergaji besi.

"Seramai lima anggota bomba terbabit dalam kerja memotong cincin ini termasuk seorang mengendalikan gergaji manakala selebihnya cuba menenangkan pelajar terbabit, " katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada masa sama beliau berkata, operasi memotong cincin terbabit mengambil masa kira-kira setengah jam dan ia dilakukan secara teliti serta berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan berlaku.

Katanya, pihaknya dimaklumkan bahawa pelajar itu sering memakai cincin berkenaan, namun terlupa menanggalkannya sejak semalam, sebelum menyedari ia sudah tersangkut di jarinya sejak pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 5:08 PM