TUCHEL antara calon menggantikan Ancelotti yang dipecat pengurusan Bayern Munich.
TUCHEL antara calon menggantikan Ancelotti yang dipecat pengurusan Bayern Munich.
AFP

Munich, Jerman: Thomas Tuchel menjadi calon pilihan untuk menggantikan Carlo Ancelotti sebagai jurulatih Bayern Munich berikutan laporan media semalam bahawa perbincangan kontrak sedang diadakan.

Menurut akhbar harian Jerman Bild, Tuchel, 44, berada di Munich dalam dalam perbincangan untuk mengambil alih kelab gergasi Bavaria itu selepas dipecat pendahulu Bundesliga Borussia Dortmund pada Mei.

Tuchel dan Dortmund membawa haluan masing-masing meskipun beliau berjaya membawa kelab itu menjulang Piala Jerman musim lalu, apabila jurulatih itu dikatakan mempunyai hubungan keruh dengan Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Hans-Joachim Watzke.

Pengarah sukan Bayern Hasan Salihamidzic berkata semalam, Munich tidak mempunyai sebarang nama atau profil siapa yang akan menggantikan Ancelotti yang dipecat Khamis lalu susulan kekalahan Bayern 0-3 di tangan Paris Saint-Germain.

“Kini kami akan mengumpul maklumat sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Salihamidzic.

Ancelotti, 58, mengendalikan Bayern selama 15 bulan dan berjaya menjulang gelaran Bundesliga musim lalu.

Bagaimanapun, beliau dipecat selepas aksi hambar di PSG ketika bintang kelab Arjen Robben, Franck Ribery dan Mats Hummels diletakkan di bangku simpanan.

Bekas pertahanan Bayern Willy Sagnol dilantik sebagai pemangku jurulatih untuk perlawanan liga Jerman menentang Hertha Berlin hari ini.

Sekiranya Bayern melantik Tuchel dalam beberapa hari ini, perlawanan pertama yang akan dikendalikannya adalah berdepan Freiburg pada 14 Oktober, selepas rehat aksi antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 3:49 AM