MESKIPUN  hanya memenangi tempat ketiga, ia tetap kebanggaan bagi pelajar SMK Sungai Koi.
MESKIPUN hanya memenangi tempat ketiga, ia tetap kebanggaan bagi pelajar SMK Sungai Koi.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Peribahasa ini sesuai menggambarkan kesungguhan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Kuantan, menjayakan projek ternakan lebah kelulut sehingga mampu mencipta produk berasaskan madu.

Penghasilan produk sabun pembersih dan pencerah muka serta rawatan kulit jenama D’Soi Honey menggunakan campuran madu kelulut yang dipasarkan sejak Mac lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah dan masyarakat setempat.

Bertambah manis apabila produk yang dihasilkan menerusi Projek Agro Ekonomi menerusi koperasi sekolah itu menduduki tempat ketiga pada Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah (KPKKS) Peringkat Negeri Pahang sempena Hari Koperasi Negara 2016 pada awal Ogos lalu di Raub.

Pengarah Urusan D’Soi Beauty Enterprise Nor Syairah Hanafi, 15, berkata walaupun sekadar tempat ketiga, ia tetap kejayaan membanggakan.

“Kemenangan ini menjadi dorongan dan pembakar semangat kepada kami untuk terus melakukan penambahbaikan terhadap produk dihasilkan.

“Sehingga kini, sabun buatan tangan D’Soi Honey sudah terjual hampir 600 ketul sejak Mac lalu,” katanya ketika ditemui di Galeri Agro Ekonomi sekolah berkenaan.

Galeri yang menempatkan pelbagai info berkaitan projek ternakan kelulut itu turut menyediakan maklumat mengenai projek tanaman cendawan tiram kelabu dan fertigasi serta dijadikan lokasi perbincangan dan mesyuarat untuk projek yang dilaksanakan di taman agro ekonomi.

Sementara itu, Guru Penyelaras Projek Roselina Mohd Suan berkata, sebanyak 40 koloni lebah kelulut diternak di Taman Agro Ekonomi yang dibangunkan dan diuruskan sepenuhnya oleh koperasi sekolah bermula September tahun lalu.

“Kerjasama guru dan pelajar membolehkan projek itu berjalan lancar dan waktu ‘menuai’ madu sentiasa dinanti-nantikan kerana itu bermakna mereka akan mula membuat sabun.

“Cuti hujung minggu digunakan untuk membuat sabun dan semua proses dilakukan di sekolah,” katanya.

Roselina berkata, taman itu dipenuhi pelbagai jenis spesies bunga-bungaan dan tumbuhan hiasan yang dijadikan ‘pusat makanan’ lebah kelulut.

“Antara pokok bunga yang menghiasi taman itu ialah bunga kertas, roselle, ros Jepun, kemunting Cina, orkid, puding, lavender, ceri, kemunting, senduduk dan pinang merah.

“Koperasi SMK Sungai Soi turut terpilih menyertai Pameran Perdagangan Koperasi ASEAN, Persidangan dan Padanan Perniagaan (ACOTEX) 2016 di Jakarta pada 1 hingga 4 Ogos lalu berikutan kejayaan melakukan inovasi produk daripada madu lebah kelulut.

“Saya berterima kasih kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang memilih koperasi sekolah ini sebagai wakil koperasi sekolah seluruh negara selepas melihat prestasi produk dihasilkan,” katanya.

Menurutnya, ramai yang bertanya mengenai kegunaan dan keberkesanan sabun madu kelulut dan dia optimis produk ini boleh pergi ‘lebih jauh’ berdasarkan sambutan diberikan sepanjang pameran berlangsung.

“Beberapa hotel yang bernaung di bawah pertubuhan koperasi turut memintanya menghantar sampel sabun untuk kegunaan tetamu.

“Apabila mereka bersetuju kita akan kilangkan terus sabun ini dalam skala lebih besar,” katanya.

Menurutnya, projek ternakan kelulut itu sentiasa menerima kunjungan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), ANGKASA, Sirim Berhad, MARDI, Jabatan Pertanian dan Jabatan Pendidikan untuk melihat sendiri projek itu dilaksanakan.

“Sebagai perancangan masa depan, pihak koperasi merancang melaksanakan projek tanaman fertigasi buah rock melon dan menubuhkan kedai koperasi yang menjual pelbagai jenis barangan keperluan pelajar dan barangan runcit bagi menambah pendapatan koperasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 5:06 AM