Antara kawasan ladang penternakan madu kelulut. FOTO Mohd Amin Jalil
Antara kawasan ladang penternakan madu kelulut. FOTO Mohd Amin Jalil
Idris Musa

BAGI meningkatkan pengeluaran madu kelulut dan menarik penyertaan belia dalam industri berkenaan, kerajaan menyediakan peruntukan kepada yang berminat menceburi bidang penternakan dan penghasilan madu itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, antaranya bawah Program Agropreneur Muda, peserta daripada golongan belia diberi bantuan dengan sasaran pengeluaran minimum 25 kilogram sebulan.

"Berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, sehingga kini terdapat 717 usahawan terbabit dalam industri penternakan dan pengeluaran madu kelulut.

"Daripada jumlah itu, 20 peserta dibantu di bawah Program Agropreneur Muda berjumlah RM300,000 dalam bentuk input seperti sarang dan bongkah untuk pemeliharaan dan pengeluaran madu kelulut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan kepada soalan Shabudin Yahaya (PH-Tasek Gelugor) yang bertanya mengenai usaha kementerian dalam meningkatkan pasaran eksport madu kelulut dan sama ada pengusaha tempatan dapat membekalkan madu yang memenuhi piawaian serta berkualiti di Dewan Rakyat hari ini.

Sim berkata, sebagai usaha memastikan pengusaha membekalkan madu kelulut yang memenuhi piawaian dan kualiti diterima di pasaran antarabangsa, Jabatan Pertanian sedang di peringkat akhir membangunkan dokumen Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia Pemeliharaan Lebah dan Kelulut dikenali sebagai myGAP.AM.

Katanya, skim pensijilan itu bertujuan mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik dalam pemeliharaan lebah dan kelulut.

Beliau berkata, kementerian turut menawarkan perkhidmatan pengembangan seperti khidmat nasihat teknikal dan latihan serta pemindahan teknologi kepada pengusaha di peringkat negeri dan daerah.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya melaksanakan beberapa langkah strategik dalam usaha meningkatkan pasaran eksport madu kelulut di peringkat antarabangsa termasuk penganjuran aktiviti promosi menerusi penyertaan dalam program pameran perdagangan di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 3:58 PM