SEGENAP ruang tidak dibiarkan kosong.
SEGENAP ruang tidak dibiarkan kosong.
TAMAN Agro Ekonomi yang menarik.
TAMAN Agro Ekonomi yang menarik.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


Menata hias halaman sekolah mampu memberi impak positif kepada pelajar, guru dan kakitangannya.

Warna-warni tumbuhan, kolam mini, koloni lebah kelulut, taman agro dan wakaf di persekitaran sekolah mewujudkan pandangan luar biasa yang mengagumkan.

Bukan kerja mudah untuk mendapatkan landskap memenuhi cita rasa dan selera semua pihak, tapi ia bukan mustahil untuk direalisasikan.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, Kuantan, persekitaran sekolah yang cantik, ceria dan penuh informasi merangsang minda dan minat untuk belajar, malah menjadi antara penyebab mereka sentiasa bersemangat hadir ke sekolah.

Slogan ‘Sekolahku Syurgaku’ pasti melambangkan kasih sayang dan kegembiraan pelajar untuk meneruskan proses pembelajaran kerana persekitaran yang kondusif mampu menimbulkan suasana tenang, damai serta harmoni.

Pengetuanya Ali Afandi Abdul Majid berkata, landskap sekolah makin menarik apabila banyak pokok hiasan ditanam untuk mewujudkan suasana semula jadi bagi menepati konsep sekolah dalam taman.

Di setiap ruang kosong ditanam pokok peneduh dan pokok bunga warna-warni.

Di kaki lima dan penjuru bangunan sekolah pula dihiasi tumbuhan hijau dalam pasu besar bagi mengelak tanah mengotori lantai.

Laluan dari kantin menuju ke bangunan utama bahagian hadapan juga dihiasi tanaman hiasan dan istimewanya ada beberapa koloni lebah kelulut turut diletakkan berselang seli antara pokok.

“Koloni kelulut ini memberi satu pandangan luar biasa kerana jarang ada sekolah yang ‘mendekorasi’ halaman sekolah dengan menternak lebah.

“Saya suka cara begini kerana ia memberi kelainan dan pelajar suka melihat kelulut berterbangan di celah-celah pokok tanpa menggigit mereka,” katanya.

Taman Terapuetik juga sentiasa menjadi tumpuan pelajar ketika rehat kerana ia sudut ‘terapi minda’ termasuk mengurangkan tekanan dalam bilik darjah.

Kepala yang berserabut mungkin boleh ‘dikosongkan’ buat seketika apabila menjengah ke kolam ikan. Taman ini dibina pada bahagian tengah antara dua bangunan dengan kawasan sekeliling taman juga ditanam dengan pelbagai jenis pokok termasuk pokok hutan.

“Apabila berada di sini, hati lebih tenang melihat ikan berenang dalam kolam sambil melihat tumbuhan herba yang jarang ditemui di laman rumah,” katanya.

Antara ikan sungai yang dipelihara ialah patin kolam, lampam, jelawat dan kap jepun, malah taman ini juga ‘dibanjiri’ pelbagai tumbuhan herba seperti pokok lidah jin, lidah ayam, teh hutan dan cekur selain tanaman hiasan termasuk palma, pinang rotan, teh hutan, bunga kertas, paku pakis, lidah jin, keladi dan palas payung.

Beberapa basikal lama turut diletakkan berhampiran kolam untuk menceriakan suasana.

Laman herba juga turut diwujudkan dengan pelbagai jenis tanaman dan ulam-ulaman seperti cekur, halia, kunyit, cili api, ulam raja, selom.

Taman Agro Ekonomi pula mencetuskan suasana berbeza kerana dipenuhi pelbagai jenis spesies bunga-bungaan dan tumbuhan hiasan yang dijadikan ‘pusat makanan’ lebah kelulut.

Hampir 50 koloni lebah kelulut diternak sejak tahun lalu dan madu yang diperoleh dijual kepada warga sekolah selain dijadikan sebagai bahan membuat sabun pencuci muka.

Antara pokok bunga yang menghiasi taman itu ialah bunga kertas, roselle, ros Jepun, kemunting Cina, orkid, puding dan bunga corong.

SMK Sungai Soi yang dibuka pada 2003 itu juga mendirikan beberapa wakaf yang dijadikan tempat beristirahat, diskusi dan ‘kelas mini’ dalam kalangan pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:01 AM