TIMBALAN Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah (dua kanan), Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) dan Timbalan Presiden II, Datuk Mokhtar Ahmad (tengah) pada Kongres Tahunan FAM ke-52 di Hotel Hilton PJ, semalam.
TIMBALAN Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah (dua kanan), Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri) dan Timbalan Presiden II, Datuk Mokhtar Ahmad (tengah) pada Kongres Tahunan FAM ke-52 di Hotel Hilton PJ, semalam.
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: “Saya lebih rela panggil budak kampung yang sungguh-sungguh nak bermain dan sanggup bermain untuk negara daripada ambil pemain kononnya bintang tapi duduk atas padang tak nak bermain.”

Ingatan itu disuarakan oleh Pengurus Skuad Projek Sukan SEA 2017 Datuk Rozabil Abd Rahman (gambar) kepada semua pemain supaya memberikan komitmen tinggi untuk menyarung jersi negara.

Katanya, soal kelab atau pasukan negeri tidak memberi pelepasan tidak timbul jika pemain itu sendiri mempunyai keinginan yang kuat untuk bersama pasukan negara.

“Ini bergantung pemain, kalau kelab panggil, kita tahan pemain dan pemain tak nak main, kenapa mereka perlu terus berada dalam pasukan.

“Itu sebabnya saya ambil pendekatan berbincang dengan kelab untuk mengetahui bila kita nak panggil pemain, bila nak adakan latihan pusat supaya semua boleh beri pelepasan kepada pemain,” jelas Rozabil ketika ditemui pemberita pada Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-52 semalam.

Isu ini mula timbul apabila pemain pertahanan tengah Dominic Tan yang lambat melaporkan diri pada kem latihan pusat skuad kendalian Frank Bernhardt dan kemudian pulang awal sebelum perlawanan kedua menentang skuad bawah 22 tahun Bahrain pada 2 September lalu.

Ketiadaan Dominic mencetuskan persoalan kepada Bernhardt bagaimanapun Rozabil mengesahkan pihak pengurusan pasukan termasuk jurulatih melepaskan pemain berkenaan pulang awal menyertai latihan bersama kelabnya Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Kami berbincang bersama dan kita sebulat suara untuk melepaskan Dominic kerana permintaan Johor DT.

“Ia permintaan kelab dan kita sudah berikan peluang kepada Dominic beraksi pada perlawanan pertama (menentang Bahrain B-22) dan kita ada dua perlawanan persahabatan jadi kita lepaskannya pada perlawanan kedua untuk beri peluang kepada pemain lain bermain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 12:11 PM