Rozabil mahu pemain ada kesungguhan bermain untuk pasukan kebangsaan. FOTO NSTP
Rozabil mahu pemain ada kesungguhan bermain untuk pasukan kebangsaan. FOTO NSTP

Petaling Jaya: Skuad bola sepak Projek Sukan SEA 2017 mahukan pemain yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang jitu apabila diberikan peluang mewakili skuad kebangsaan, kata pengurus pasukan, Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Beliau berkata kesanggupan pemain untuk berkorban demi negara itu lebih penting berbanding populariti pemain yang mungkin tidak akan mempamer aksi yang cemerlang di atas padang.

"Saya lebih rela ambil budak kampung yang nak bersungguh-sungguh untuk bermain untuk negara daripada mengambil ambil pemain yang kononnya bintang tetapi duduk atas padang tak nak bermain dengan bersungguh-sungguh.

"Ini satu tanggungjawab dan penghargaan untuk pemain dan sekiranya tiada (kesanggupan), kita tidak boleh paksa mereka, lepas itu dia akan merosakkan pasukan, jadi lepas ini kita nak cari pemain yang betul-betul ada hati bermain untuk pasukan kebangsaan," katanya selepas Kongres Tahunan FAM kali ke-52, di sini, hari ini.

Beliau turut meminta persatuan dan kelab yang pemainnya terbabit dalam perancangan Sukan SEA Kuala Lumpur, untuk menghargai pemain yang dipanggil oleh jurulatih skuad Bawah 22 (B-22), Frank Bernhardt.

Terdahulu, Rozabil menjelaskan beliau telah memberikan pelepasan untuk pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Dominic Tan untuk pulang awal dari kem latihan skuad Sukan SEA sebelum perlawanan persahabatan kedua menentang pasukan B-22 Bahrain selepas mendapat permintaan dari kelab itu.

"Saya mengambil keputusan itu selepas berbincang dengan barisan jurulatihan kerana sebelum itu kita memang telah merancang untuk memberikan peluang kepada pemain lain pada aksi kedua itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata tiada peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melibatkan pemain B-22 untuk mewajibkan sesebuah kelab melepaskan pemainnya.

"Perkara ini turut berlaku ketika Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Remaja Dunia 1997 di mana ada kelab-kelab Eropah yang tidak mahu melepaskan pemain mereka. FIFA hanya ada peraturan untuk skuad kebangsaan dan perkara ini berlaku di Sukan Olimpik juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 6:19 PM