PEMAIN pertahanan skuad bawah 23 tahun (B-23), Irfan Zakaria (kanan). FOTO Osman Adnan
PEMAIN pertahanan skuad bawah 23 tahun (B-23), Irfan Zakaria (kanan). FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi


PEMAIN pertahanan skuad bawah 23 tahun (B-23), Irfan Zakaria mahu rakan sepasukan berwaspada dengan ancaman Kyrgyzstan yang mungkin boleh menjadi pengacau apabila mereka bertemu pada aksi pembukaan Kumpulan E Sukan Asia Jakarta-Palembang di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung hari ini.

Katanya, apa yang merisaukan adalah Kyrgyzstan pasukan misteri yang sukar diramal kemampuannya kerana mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.

“Kalau kita lihat pasukan dalam Kumpulan E, kita pernah bertemu Korea Selatan di Kejohanan AFC di China dan kita juga menentang Bahrain pada aksi persahabatan ketika di bawah kendalian jurulatih Frank Bernhardt (September 2016).

“Jadi, Kyrgyzstan pasukan misteri, kita pun tidak berapa kenal pemain mereka jadi agak sukar untuk menjangka kekuatannya. Tapi apapun, kita tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan kerana pada saya semua pasukan memiliki kemampuan tersendiri dan berpeluang layak ke pusingan kedua,” kata Irfan.

Pada saingan Sukan Asia 2014 di Incheon, Kyrgyzstan mara ke pusingan kedua dengan mengutip mata ketika seri 1-1 menentang Iran manakala Malaysia terkandas di pusingan awal.

Irfan, 23, yang menjadi tonggak pertahanan tengah bergandingan bersama Dominic Tan dan Adam Nor Azlin ketika skuad negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC di China, Januari lalu bagaimanapun percaya mereka mampu mendapat keputusan lebih baik kali ini.

“Saya rasa semua pemain sudah bersedia, kita sudah membuat persiapan rapi dengan latihan dan aksi persahabatan di mana kita berjaya mengalahkan UAE (Emiriah Arab Bersatu) 2-0. Dan dalam tempoh yang ada sebelum perlawanan esok (hari ini), kita akan gunakan sebaiknya untuk memantapkan lagi permainan,” kata pemain tengah Kuala Lumpur itu.

Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee masih mengekalkan gandingan Irfan, Dominic dan Adam di bahagian tengah ketika menewaskan UAE di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu dan kemungkinan tiada perubahan bakal dilakukan pada pertemuan dengan Kyrgyzstan.

“Saya fikir mana-mana pemain bersedia diturunkan dan tidak ada masalah untuk bermain bersama. Selain saya, Dominic dan Adam, pemain seperti Adib (Zainudin), Syazwan (Zaipol) dan Rodney (Celvin Akwensivie) juga bersaing untuk mendapatkan tempat. Pada saya ia situasi yang baik untuk jurulatih memiliki pilihan pemain untuk diturunkan,” kata Irfan.

Selepas pertemuan dengan Kyrgyzstan, ujian lebih besar menanti anak buah Kim Swee di mana mereka berdepan juara bertahan, Korea Selatan (Jumaat) dan Bahrain (Isnin).

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 5:53 PM