BERNAMA

Ipoh: Seorang anggota polis berpangkat koperal ditangkap bersama dadah dipercayai jenis heroin di sebuah hotel di sini, Khamis lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong selepas kes penangkapan berkenaan viral di media sosial sejak semalam.

"Saya sahkan kes (penangkapan) itu," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan media sosial itu, anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Khantan Baru di sini, ditangkap di sebuah hotel di Chemor kira-kira 2.30 petang pada 8 September.

Pemeriksaan fizikal terhadap suspek yang menyertai PDRM sejak 1981 menemukan enam paket plastik lutsinar dipercayai heroin dalam poket jaket dipakai.

Selain itu, satu pistol jenis Smith & Wesson beserta lima peluru, satu buku saku PDRM dan satu kad kuasa juga ditemui bersama suspek.

Sum bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penangkapan itu selain hanya mengesahkan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:28 PM