Sum menunjukkan gambar Muhammad Shafiq Soleehin Yusny yang dikehendaki bagi membantu siasatan. FOTO Effendy Rashid
Sum menunjukkan gambar Muhammad Shafiq Soleehin Yusny yang dikehendaki bagi membantu siasatan. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS tahan tiga lelaki berusia 23 hingga 27 tahun yang dipercayai terbabit dalam tiga kes samun stesen minyak dan sebuah kedai serbaneka 24 jam di sekitar Ipoh sejak sebulan lalu.

Kumpulan itu yang diketuai seorang warga Rohingya manakala ahlinya warga tempatan ditahan pada 11 Jun lalu secara berasingan di sekitar Manjoi, Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis menjalankan risikan sejak 29 Mei lalu untuk mengesan kumpulan berkenaan yang dipercayai bergerak aktif seramai empat orang.

Katanya, hasil risikan menahan lelaki Rohingya yang dipercayai ketua kumpulan di Manjoi sebelum dua lagi suspek ditahan di kawasan berhampiran.

Menurutnya, kumpulan itu mensasarkan stesen minyak serta kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam untuk melakukan kegiatan samun bersenjata dan setakat ini jumlah kerugian bagi empat kes ialah RM10,000.

"Dengan tertangkapnya tiga ahli kumpulan ini, polis percaya dapat menyelesaikan empat kes samun stesen minyak dan serbaneka di sekitar bandaraya ini.

"Polis turut merampas parang, pedang samurai, kapak kecil, telefon bimbit dan dua motosikal. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan" katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.

Sum berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki iaitu Muhammad Shafiq Soleehin Yusny berusia 22 tahun bagi membantu siasatan kes ini.

Menurutnya, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Leow Pei Theen di talian 016-4146721 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 12:16 PM