BERNAMA

Ipoh: Lapan remaja dipercayai menyamun penjual dan penghantar surat khabar dengan bersenjatakan parang, diberkas di sekitar bandar raya ini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata kesemua suspek berumur antara 14 hingga 18 tahun itu diberkas di tiga lokasi berasingan iaitu Jelapang, Manjoi dan Kampung Rapat.

Beliau berkata operasi dijalankan mulai Selasa lalu selepas menerima aduan daripada lapan mangsa serta perjumpaan dengan persatuan penjual dan penghantar surat khabar.

"Setiap pagi mulai Selasa lalu, kita menjalankan operasi dan pagi tadi, telah berjaya menahan dua orang di Manjoi, dua di Kampung Rapat dan empat di Jelapang," katanya selepas mengadakan Program High Profile Policing di Pasar Pasir Pinji di sini, hari ini.

Sum berkata modus operandi kumpulan ini adalah menyamun menggunakan parang ketika mangsa keluar menjual atau menghantar surat khabar awal pagi.

“Walaupun anggaran kerugian tidak banyak iaitu antara RM100 hingga RM300 bagi seorang mangsa, tetapi kebanyakan mangsa adalah warga emas dan suspek menyamun menggunakan parang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:12 PM