Keadaan mayat Fazizul selepas merempuh tembok pagar. FOTO L Manimaran
Keadaan mayat Fazizul selepas merempuh tembok pagar. FOTO L Manimaran
Farah Suhaida Othman


Ipoh: Seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan seperti bersujud selepas motosikal ditunggang dipercayai terbabas lalu merempuh tembok pagar di Kem Dua Bridged, Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini jam 7.50 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Fazizul Saleh, 26, dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri terbabas lalu merempuh tembok jalan berkenaan.

Katanya, terdapat kesan brek menunjukkan mangsa tidak sempat untuk mengelak daripada melanggar tembok itu.

“Akibat daripada kemalangan, mangsa maut di lokasi kejadian.

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan kesan kemalangan itu.

Sum berkata, kemalangan itu menyebabkan motosikal yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan di bahagian depan.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 6:30 PM