KELINCAHAN pemain Garuda Andik Vermansyah gagal dikekang pemain Malaysia.
KELINCAHAN pemain Garuda Andik Vermansyah gagal dikekang pemain Malaysia.
Aziman Rosdi

Sepang: Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat enggan menyalahkan mana-mana pemain berikutan kekalahan 0-3 skuad kebangsaan kepada Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Manahan, Solo kelmarin.

Sambil mengakui kekalahan itu memalukan, apatah lagi lawan berada di ranking ke-191 dunia dan sudah setahun tidak bermain di pentas antarabangsa, dia berharap masih belum terlambat untuk mereka memperbaiki kelemahan sebelum kempen Piala AFF di Yangon, Myanmar pada November nanti.

”Kami hilang fokus pada awal permainan dan dihukum pemain Indonesia yang sudah lama tidak bermain di peringkat antarabangsa, jadi semangat hendak menang mereka membuak-buak.

“Sudah tentu apabila kalah kami akan berasa kecewa. Tidak semestinya ketika kalah dengan Indonesia saja, dengan pasukan lain juga akan rasa kecewa. Ini lumrah dalam bola sepak, jadi kita kena belajar daripada kesilapan kerana ini perlawanan persahabatan, ada masa lagi untuk perbaiki kelemahan sebelum perlawanan sebenar,” katanya yang ditemui sebaik tiba di tanah air dari Solo semalam.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dihukum pemain Indonesia apabila kesilapan pertahanan Mohd Fadhli Shas dan pemain tengah Brendan Gan membenarkan Boaz Solossa dan Irfan Bachdim menjaringkan gol sebelum kegagalan perangkap ofsaid membolehkan Boaz menjadikan kedudukan 3-0 dalam tempoh 21 minit.

Khairul Fahmi yang kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama selepas Izham Tarmizi Roslan mengalami kecederaan menegaskan semua pemain perlu bertanggung jawab atas kegagalan ini.

“Saya tidak salahkan pemain yang membuat kesilapan kerana seluruh pasukan buat silap,” katanya.

Skuad Harimau Malaysia dalam persiapan menghadapi kempen Kumpulan B Piala AFF November ini yang membabitkan pasukan tuan rumah Myanmar, Vietnam dan satu lagi pasukan pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:28 AM