RAJA dadah warga Malaysia yang ditahan di Laos. FOTO Agensi
RAJA dadah warga Malaysia yang ditahan di Laos. FOTO Agensi
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Raja dadah warga Malaysia yang diberkas di Laos pada Jumaat lalu dalam senarai individu dikehendaki oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018.

Bukit Aman memaklumkan, penahanan lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu dilakukan hasil pertukaran maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) dan Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, lelaki berkenaan disenarai hitam selepas disyaki menjadi dalang utama sindiket pengedaran dadah di kawasan Segi Tiga Emas membabitkan tiga negara iaitu Myanmar, Laos dan Thailand sejak 2006.

Beliau berkata, tindakan menyenarai hitam dilakukan selepas pihak berkuasa Thailand menahan tujuh rakyat mereka dengan rampasan 998 kilogram methamphetamine di wilayah Ratchaburi pada Jun tahun lalu.

"Lelaki ini juga mempunyai rangkaian pengedaran di negara ini. Wujud perkongsian maklumat antara Malaysia dan negara terbabit dalam penahanan ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pelarian warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana menyeludup dadah ditahan selepas bersembunyi di Laos.

Suspek dipercayai menggunakan Thailand untuk pengubahan wang haram dan sebagai transit untuk penyeludupan dadah, termasuk ke negara ketiga seperti Malaysia, Taiwan dan Australia.

Susulan penahanan itu juga, pihak berkuasa Thailand turut merampas aset lelaki itu, termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai, dan barang berharga lain di Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri.

Jumlah anggaran nilai aset yang dirampas ialah RM11 juta (85 juta baht).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 4:23 PM