Penduduk bergotong-royong bersih jambatan dan boleh dilalui semula pada 8 malam. FOTO Ramli Ibrahim
Penduduk bergotong-royong bersih jambatan dan boleh dilalui semula pada 8 malam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Berpuluh-puluh kenderaan terkandas di Kampung Pulau Setelu, di sini apabila jambatan merentasi Sungai Nenggiri, menghubungkan Gua Musang-Jeli tenggelam, petang ini.

Jambatan sementara yang dibina awal tahun lalu itu mulai tenggelam pada 5 petang berikutan hujan lebat sejak malam hingga kira-kira 12 tengah hari.

Bagaimanapun, limpahan air sungai mulai surut menjelang 7 malam dan penduduk kampung bergotong royong membersihkan sisa kayu yang tersekat di jambatan itu.

Seorang pengguna laluan itu, Ghani Abdullah, 58, berkata, tidak mengetahui jambatan itu tenggelam memandangkan air sungai naik secara tiba-tiba selepas hujan lebat pada sebelah lagi.

"Besar kemungkinan air dari hulu mulai turun menyebabkan paras air sungai naik mendadak dan menenggelamkan jambatan.

"Arus sungai sangat deras dan agak membahayakan juga memandangkan jambatan besi ini bersifat sementara," katanya di sini, hari ini.

Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri.(DUN) Nenggiri, Kamizi Jalil berkata, jambatan sementara itu berisiko tinggi dilalui kenderaan ketika musim tengkujuh ini.

Katanya, hujan lebat selama beberapa jam boleh menyebabkan air sungai melimpah dan menenggelamkan jambatan itu.

"Biasanya memang dalam tempoh dua ke tiga jam, ia akan surut dan penduduk terpaksa membantu membersihkan sampah dan sisa kayu.

"Hari ini kira-kira 30 penduduk membantu membersihkan jambatan tadi sebelum kenderaan menyeberangi jambatan semula pada 8 malam," katanya.

Jambatan sementara itu dibina kerana jambatan konkrit runtuh akibat kejadian banjir besar pada Disember 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 8:29 PM