ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan dinaiki mangsa. Gambar kecil, mangsa.
ANGGOTA bomba memeriksa kenderaan dinaiki mangsa. Gambar kecil, mangsa.
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Seorang pegawai tentera darat berpangkat Leftenan Kolonel maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas di Kilometer 341.3 Lebuh raya Pantai Timur dekat FELDA Kertih 2, di sini, 6.50 petang tadi.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa Zahari Mustaffa, 51, dari Kuala Lumpur dalam perjalanan pulang berseorangan untuk bertugas di Pangkalan Udara Gong Kedak, Besut sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Mangsa yang bertugas di Kor Agama Tentera (KAGAT) dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya akibat jalan licin kerana hujan sebelum merempuh penghadang jalan menyebabkan kenderaannya itu terbalik dengan keadaan keempat-empat tayar ke atas.

Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dikerahkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, mangsa yang patah kaki kanan dan mengalami kecederaan dalaman badan maut serta-merta di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 9:37 PM