WAHID bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah (kanan), menunjukkan Agihan Pendapatan Amanah Saham Wawasan 2020. FOTO Sairien Nafis
WAHID bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah (kanan), menunjukkan Agihan Pendapatan Amanah Saham Wawasan 2020. FOTO Sairien Nafis
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2016.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, kadar pengagihan pendapatan ini membabitkan pembayaran berjumlah RM1.146 bilion yang akan dimanfaatkan lebih 878,000 pemegang unit yang telah melanggan 18.193 bilion unit ASW 2020.

Beliau berkata, sehingga 24 Ogos 2016, tabung ASW 2020 telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.394 bilion.

"Daripada jumlah ini, keuntungan daripada penjualan saham dalam semua syarikat menyumbang sebanyak RM735.83 juta atau 52.8 peratus, manakala pendapatan dividen daripada pelaburan pula menyumbang sebanyak RM451.70 juta atau 32.4 peratus kepada pendapatan kasar diraih.

"Jumlah selebihnya iaitu RM206.84 juta atau 14.8 peratus pula diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan," katanya pada sidang media majlis pengumuman pengagihan ASW 2020 di sini hari ini.

Abdul Wahid berkata, pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASW 2020.

Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaksanakan melalui pelaburan semula dalam bentuk unit secara automatik yang akan dikreditkan ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 1:42 PM