Nabil Basaruddin


PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran pendapatan 5.50 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi tahun kewangan 31 Disember 2019.

Pengagihan pendapatan terbabit adalah yang terendah sejak dana itu mula dilancarkan pada 1990.

Pengumuman berkenaan merangkumi pengagihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit membabitkan pembayaran berjumlah RM9 bilion yang akan dimanfaatkan 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit ASB.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, disebalik keadaan mencabar ini, ASB berjaya memberikan jumlah agihan pendapatan sebanyak RM9 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Katanya, prestasi itu adalah hasil keuntungan yang diperoleh daripada peningkatan pelaburan luar negara yang dirancang di bawah rangka kerja Peruntukan Aset Strategik PNB.

DR Zeti Aziz mengumumkan pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019di Menara PNB.
DR Zeti Aziz mengumumkan pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019di Menara PNB.

“Akibat daripada pasaran yang tidak menentu dan kesan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China yang berterusan serta perdagangan global yang perlahan, ia menjadikan persekitaran pasaran lebih mencabar pada 2019.

“Malah, setakat 16 Disember, Komposit Indeks Kuala Lumpur (KLCI) menurun sebanyak 7.2 peratus, menjadikannya antara indeks dengan prestasi terendah di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pengumuman agihan pendapatan ASB dan prestasi kewangan 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan 2.75 sen seunit bagi dana harga berubah pertamanya, Amanah Saham Nasional (ASN) membabitkan pengagihan berjumlah RM49 juta yang akan memanfaatkan lebih 1.22 juta pemegang unit dengan lebih 1.78 bilion unit.

Urus niaga bagi ASB dan ASN ditangguhkan buat sementara dari 18 Disember 2019 hingga 1 Januari 2020.

Pemegang unit boleh menyemai dan mengemas kini akaun mereka apabila urus niaga diteruskan semula pada 2 Januari 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 4:34 PM