Kuala Lumpur: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 6.30 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2016.
Pengagihan pendapatan berkenaan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.03 bilion yang akan dimanfaatkan oleh 536,862 pemegang unit yang melanggan 16.298 bilion unit ASM.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, sehingga 11 Mac 2016, ASM memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.26 bilion dan keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM659.96 juta atau 52.23 peratus kepada jumlah berkenaan.
"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM423.66 juta atau 33.53 peratus dan selebihnya RM180.01 juta atau 14.24 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan instrumen-instrumen jangka pendek," katanya pada sidang media majlis pengumuman pengagihan pendapatan ASM di sini, sebentar tadi.
Katanya, pengiraan pengagihan pendapatan ASM adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan tabung ASM.