Nabil Basaruddin


AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6 sen seunit untuk tabung berharga tetap, Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pengagihan pendapatan ini membabitkan pembayaran berjumlah RM1.1 bilion yang dapat dimanfaatkan oleh lebih 870,000 pemegang unit yang melanggan 18.8 bilion unit ASW 2020.

Beliau berkata, walaupun dalam pasaran yang mencabar pada awal tahun kewangan, PNB masih berupaya memberikan pulangan mampan dan berdaya saing kepada pemegang unit tabung ASW 2020.

"Untuk tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2017, ASW 2020 dijangka memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.38 bilion, dengan keuntungan daripada penjualan saham akan menyumbang sebanyak RM718.7 juta atau 52 peratus.

"Sementara itu bagi pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat pula menyumbang sebanyak RM459.8 juta atau 33.3 peratus kepada jumlah pendapatan kasar dan selebihnya RM203.5 juta atau 14.7 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam sukuk atau deposit tetap Islamik serta pendapatan berfaedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua urus niaga bagi tabung ASW 2020 di semua cawangan dan ejen ASNB ditangguhkan mulai 26 Ogos sehingga 3 September 2017 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:53 PM