Rizar Mohd Nor


Johor Bahru: Bisa sentuhan Latin memastikan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero (gambar, tengah) yang tidak diturunkan ketika Johor DT menewaskan PDRM 4-1 pada saingan Kumpulan C Piala Malaysia, Sabtu lalu bagai melepas geram selepas kedua-dua pemain itu menghasilkan semua gol tuan rumah.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Mario Gomez berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan hatrik liga namun perlu mengharungi baki empat lagi perlawanan dan aksi menentang FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, 24 Ogos ini dianggap paling getir.

Sebaik babak pertama bermula, sudah ada kesungguhan yang ditampilkan tuan rumah apabila Lucero membuka jaringan seawal minit keenam hasil hantaran kapten Safiq Rahim dan gagal diselamatkan penjaga gol pelawat Wilfed Anak Jabun.

Sepakan lambung Marcos Antonio mengundang padah buat pelawat selepas Konate Souleymey gagal menanduk bola keluar dari kawasan bahaya dan bola jatuh tepat ke kaki Diaz yang tidak dikawal dan dia mudah menewaskan Wilfred pada minit ke-10 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pelawat yang tersentak dengan dua gol tuan rumah, cuba untuk melakukan kebangkitan namun bola sepakan sudut Ahmad Nizam Mohd Rodzi pada minit ke-27 dan ditanduk kemas Mohd Faizal Muhammad sempat di tangkap penjaga gol tuan rumah Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Ketika aksi babak pertama berbaki seminit untuk ditamatkan, Diaz mencetak gol kedua peribadi untuk membolehkan tuan rumah selesa mendahului 3-0.

Tuan rumah seharusnya menambah jaringan pada minit ke-75 tetapi hantaran lintang Lucero gagal ditanduk kemas pemain gantian S Chanthuru ketika gawang gol sudah terbuka luas.

Pada minit ke-85, hantaran Mohd Amri Yahyah singgah tepat di kaki Lucero yang melambungkan bola untuk memerangkap Wilfred buat kali keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:48 AM