Pengendali JDT, Benjamin Mora menunjukkan simbol  sebagai kemenangan Liga Super Kali ke-8. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Pengendali JDT, Benjamin Mora menunjukkan simbol sebagai kemenangan Liga Super Kali ke-8. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Biarpun gembira selepas membimbing Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut namun pengendali pasukan itu, Benjamin Mora mengakui dirinya tidak terlepas dengan kritikan segelintir penyokong yang mempertikai taktikal permainan yang dipratikkan.

Sememangnya Mora amat bertuah selepas melakar hatrik untuk kejuaraan liga apabila membimbing JDT sejak 2019 dan menganggap kritikan penyokong adalah senario biasa dalam bola sepak kerana mereka sentiasa mahu yang terbaik dan beliau tetap menghormati pendirian penyokong.

Ternyata Mora bagaikan mengenepikan segala kritikan sebaliknya memacu JDT sejak awal musim yang memberi impak positif dalam skuad itu apabila tidak berdepan masalah membenam Sri Pahang FC 3-0 pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi sekali gus menjulang kejuaraan liga lapan musim berturut-turut.

"Bagi saya itu perkara biasa kerana penyokong ada hak untuk mengkritik saya dan kami memerlukan mereka untuk memberi sokongan kerana tanpa mereka ibarat 'makan nasi kosong tanpa berlauk' dan itu tidak seharusnya berlaku.

"Malah kritikan penyokong juga beri ruang untuk saya mengkaji corak permainan yang lepas dan berfikir untuk memantapkan lagi pasukan kerana saya bukanlah seorang jurulatih yang serba lengkap dan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Jika kami menang saya bukanlah yang terbaik dan jika kami tewas saya bukanlah jurulatih yang teruk. Bagi saya itu adalah asam garam sebagai jurulatih dan pencapaian saya akan dinilai di penghujung liga malah tugas saya untuk beri yang terbaik kepada penyokong," katanya.

Mengulas pencapaian skuad Harimau Selatan merangkul kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut, Mora menegaskan pasukan itu sentiasa meletak sasaran memburu kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi tidak kira ketika beraksi di laman sendiri atau tempat lawan.

Beliau menambah tugasnya selaku jurulatih untuk membimbing pemain JDT mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi dan mencapai apa jua sasaran yang diamanahkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tambahnya, bukan mudah untuk meraih kemenangan kerana banyak rintangan yang perlu dilepasi terutama kecederaan pemain utama dan penggantungan pemain malah ia beri kesan terhadap persiapan pasukan menghadapi aksi kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 12:47 PM