Safawi Rasid melepasi kawalan pemain Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Safawi Rasid melepasi kawalan pemain Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers.
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar kemenangan hatrik untuk kekal selaku pendahulu Liga Super selepas membelasah Perak FC 5-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, JDT hanya berbaki enam perlawanan lagi untuk mencipta sejarah dalam pemburuan muncul juara untuk musim kelapan berturut-turut namun tidak boleh terlalu selesa memandangkan laluan mengecapi kejayaan itu masih berliku.

Dalam perlawanan itu, pengendali JDT Benjamin Mora terpaksa merombak posisi pertahanan selepas Mauricio Dos Santos tidak dapat beraksi akibat kecederaan dan tempatnya diganti oleh Adam Nor Azlin bergandingan bersama Shane Lowry.

Sindrom lambat panas terus ditampilkan JDT apabila hanya pada minit ke-20 barulah gol menjelma buat tuan rumah selepas bola umpanan Gonzalo Cabrera membolehkan Bergson Da Silva menyusup masuk ke dalam kotak penalti pelawat sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kiri gol bagi menewaskan Muhammad Azri Ab Ghani.

Corak permainan berkampung yang diamalkan skuad bimbingan Chong Yee Fatt menyukarkan tuan rumah untuk menambah jaringan walaupun menguasai perlawanan dan kedudukan 1-0 yang memihak anak didik Mora kekal sehingga berakhir babak pertama.

Sebaik babak kedua bermula, tuan rumah tidak menunggu lama apabila mencipta jaringan pada minit ke-46 selepas Bergson menjaringkan gol kedua apabila menyudahkan bola umpanan Safawi Rasid menewaskan Muhammad Azri.

Bergson mencipta hatrik pada minit ke-58 selepas menerima bola umpanan Matthew Davies dan pemain import dari Brazil itu sempat mendada bola sebelum memusing badan dan menolak bola menewaskan Muhammad Azri.

Tuan rumah terus menambah derita skuad The Bos Gaurus pada minit ke-83 selepas benteng pertahanan pelawat gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan kesempatan itu diambil Cabrera yang merembat bola kencang untuk meletak kedudukan 4-0.

Ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti dan Cabrera yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah merembat bola menewaskan Muhammad Azri dan kedudukan 5-0 memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 11:07 PM