LOKASI perintah berkurung membabitkan tujuh daerah di Sabah. FOTO ihsan polis
LOKASI perintah berkurung membabitkan tujuh daerah di Sabah. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Perintah berkurung Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) kini memasuki fasa ke-49 selepas dilanjutkan bermula esok sehingga 8 September depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun berkata, keputusan itu dibuat susulan tempoh perintah berkurung sedia ada tamat jam 7 malam ini.

"Langkah meneruskan perintah berkurung itu bagi mengekang pencerobohan pengganas dan ancaman penculikan.

"Berdasarkan maklumat, pengganas termasuk kumpulan Abu Sayyaf dari selatan Filipina masih cuba menceroboh kawasan ESSZONE untuk melakukan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR)," katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, perintah berkurung perlu diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan di kawasan ESSZONE.

Perintah berkurung membabitkan tujuh daerah termasuk Tawau, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 10:32 AM