SEBAHAGIAN daripada 177 warga negara Indonesia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, Jumaat lalu.
SEBAHAGIAN daripada 177 warga negara Indonesia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila, Jumaat lalu.
Agensi

Jakarta: Kementerian Luar Indonesia menggesa pihak berkuasa imigresen Filipina melayani 177 warga negaranya yang ditahan kerana menggunakan pasport haji negara itu sebagai mangsa, bukan sebagai suspek penipuan.

Jemaah berkenaan dipintas dan ditahan pegawai imigresen Filipina di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Jumaat lalu kerana menggunakan pasport Filipina yang diubahsuai untuk berlepas ke Arab Saudi.

Jemaah itu dikatakan membayar antara RM24,000 dan RM40,000 seorang untuk membolehkan mereka menunaikan haji menggunakan pasport itu.

“Kami meminta pihak berkuasa Filipina melayani mereka yang ditahan itu sebagai mangsa. Mereka diperdaya untuk menggunakan kuota haji FIlipina,” kata Lalu Muhammad Iqbal, Pengarah Perlindingan Rakyat Indonesia di Kementerian Luar.

Menurutnya, kementerian berharap sebahagian rakyat Indonesia itu akan memberi keterangan sebagai saksi, bukan sebagai suspek, jika kes itu dibawa ke mahkamah.

Kumpulan itu, 100 wanita dan 77 lelaki, kini ditahan di pusat tahanan Bagong Diwa Bicutan di Manila.

Lebih separuh daripada mereka berasal dari Sulawesi Selatan sementara yang lain dari Jawa, Kalimantan dan Nusa Tenggara Barat.

Menurut Lalu, sehingga semalam, semua yang ditahan itu sihat.

Siasatan awal menunjukkan rakyat Indonesia itu memperoleh pasport itu secara haram untuk menunaikan haji menggunakan kuota yang diperuntukkan kepada Filipina oleh kerajaan Arab Saudi.

Mereka tiba sebagai pelancong di negara itu beberapa minggu lalu sebelum merancang berlepas ke Madinah.

Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia, mempunyai senarai menunggu sehingga lebih 15 tahun untuk jemaah haji.

Kuota yang ditetapkan Arab Saudi untuk negara itu tahun ini ialah 170,000. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 8:01 AM