DATIN Seri Junaida Ahmad mengalungkan lanyard kad haji Nusuk kepada salam seorang jemaah wanita. FOTO Husain Jahit
DATIN Seri Junaida Ahmad mengalungkan lanyard kad haji Nusuk kepada salam seorang jemaah wanita. FOTO Husain Jahit
SYED Saleh memasangkan lanyard kad haji Nusuk kepada seorang jemaah pada Majlis Rasmi Penyerahan Kad Haji Nusuk kepada jemaah haji Malaysia. FOTO Husain Jahit
SYED Saleh memasangkan lanyard kad haji Nusuk kepada seorang jemaah pada Majlis Rasmi Penyerahan Kad Haji Nusuk kepada jemaah haji Malaysia. FOTO Husain Jahit
EMPAT jemaah pertama (dari kiri) Mohd Fikri Aiman Mohd Zulkefli, Mohd Ezani Che Ismail, Mahamad Fauzi Othman dan Razali Mat Hassan selepas menerima kad haji Nusuk masing-masing. FOTO Husain Jahit
EMPAT jemaah pertama (dari kiri) Mohd Fikri Aiman Mohd Zulkefli, Mohd Ezani Che Ismail, Mahamad Fauzi Othman dan Razali Mat Hassan selepas menerima kad haji Nusuk masing-masing. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Malaysia sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi antara negara pertama menerima kad haji Nusuk daripada Kerajaan Arab Saudi bagi Musim Haji 1445H/2024.

Lembaga Tabung Haji (TH) mula mengedarkan kad haji Nusuk kepada jemaah bagi musim haji tahun ini secara berperingkat kepada jemaah haji sebaik majlis pelancarannya di sini, kelmarin.

Majlis pelancaran disempurakan oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bersama wakil-wakil daripada syarikat Masyariq yang menguruskan permohonan serta mengaktifkan kad.

Menurut Syed Saleh, Malaysia menjadi antara negara terawal berbuat demikian bagi memperkemaskan proses dan meningkatkan langkah keselamatan jemaah.

"Maklumat komprehensif berkenaan data peribadi termasuk pasport dan visa bagi membolehkan jemaah haji dikenal pasti secara mudah, selain memberi manfaat daripada pelbagai perkhidmatan. Ia juga mempunyai maklumat penempatan jemaah serta tempat-tempat beribadat yang lazim dilawati jemaah," katanya.

Seramai 20 orang jemaah menerima kad ini sebagai simbolik bermulanya penyerahan kad haji Nusuk kepada jemaah Malaysia secara berperingkat-peringkat.

"Jemaah Malaysia dinasihatkan supaya membawa dan menggunakan kad Nusuk ini sepanjang masa kerana ia juga berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri yang membolehkan jemaah untuk masuk ke tempat-tempat beribadat di Tanah Suci termasuk Masjid Nabawi, Masjidil Haram, Arafah, Muzdalifah dan Mina.

"Alhamdulillah, Kerajaan Arab Saudi sentiasa meneruskan usaha bagi menambahbaik perkhidmatan mereka untuk memperkayakan lagi pengalaman tetamu Allah dari seluruh dunia. TH yakin inisiatif baharu ini akan memberi nilai tambah kepada jemaah negara dari segi kelancaran pergerakan termasuklah keselamatan," katanya lagi.

Langkah ini yang diambil oleh Kerajaan Arab Saudi ini adalah bagi memastikan hanya jemaah yang ada visa yang sah sahaja boleh melakukan ibadah haji pada tahun ini.

Jemaah haji Malaysia diingatkan untuk sentiasa membawa kad nusuk ini bersama-sama mereka dan menjaga kad ini dengan baik kerana ia merupakan sebahagian daripada peraturan yang ditetapkan oleh Arab Saudi.

Syed Saleh menekankan sekali lagi kad itu wajib dibawa ketika jemaah berada di Makkah dan Madinah untuk memudahkan pergerakan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 5:22 PM