Niezal Sabri (tengah) bersama naib juara, Muhammad Nasrul  (kanan) dan Saiful Marzuki di tempat ketiga. FOTO NSTP/MAHZIR MAT ISA
Niezal Sabri (tengah) bersama naib juara, Muhammad Nasrul (kanan) dan Saiful Marzuki di tempat ketiga. FOTO NSTP/MAHZIR MAT ISA
Niezal bersama hadiah kemenangan. FOTO NSTP/MAHZIR MAT ISA
Niezal bersama hadiah kemenangan. FOTO NSTP/MAHZIR MAT ISA
Mursyid Da’i, Datuk Ustaz Kazim Elias (tengah) menyampaikan cek dan trofi kepada Niezal. FOTO NSTP/MAHZIR MAT ISA
Mursyid Da’i, Datuk Ustaz Kazim Elias (tengah) menyampaikan cek dan trofi kepada Niezal. FOTO NSTP/MAHZIR MAT ISA
Najiy Jefri


Shah Alam: Da'i Niezal muncul juara program Da'i Pendakwah Nusantara musim keempat yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, malam ini.

Kemenangan Niezal atau nama sebenarnya Mohd Sufwan Niezal Sabri, 19, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, pakej umrah dan trofi.

Dua lagi peserta yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Da'i Nasrul dan Da'i Saiful terpaksa berpuas hati dengan hadiah sagu hati wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan.

Penilaian pada peringkat akhir itu dilakukan dua juri tetap iaitu Datuk Ustaz Dr Izhar Ariff dan Ustaz Zarifi.

Sementara itu juri awam terdiri daripada barisan selebriti dan personaliti Media Prima seperti AG, Izzue Islam, Da'i Farhan, Da'i Fuad, Diana Amir, Da'i Adibah, Da'i Hamidah, Hartati Hassan Basri (Pengarang Selebriti Harian Metro) serta pengasas Almas Beauty & Health, Datin Maziah Mohamed.

Sistem penjurian kali ini dinilai berdasarkan 70 peratus daripada juri profesional, 20 peratus murabbi (Ustaz Zul Ramli dan Dr Robiah K Hamzah) dan 10 peratus lagi juri awam.

Niezal berasal dari Terengganu ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka kemenangan itu dan menyifatkan ia sebagai rezeki daripada Allah.

"Alhamdulillah kemenangan ini adalah satu nikmat pemberian Allah.

"Bagi saya, ini satu amanah dan tanggungjawab.

Doakan semoga saya terus mara di gelanggang ini,"katanya.

Pertandingan akhir itu dimulakan dengan persembahan mengujakan dari barisan peserta Da'i musim keempat, Qody dan Fareez menerusi lagu Lebaran Kejayaan.

Program itu dihoskan Datuk Rosyam Nor.

Tiga finalis diuji dengan dua segmen iaitu menyampaikan tazkirah selama lima minit dan pada segmen kedua, mereka perlu menjawab tiga soalan daripada juri profesional sebelum dua peserta saja yang layak ke pusingan soalan spontan daripada penonton bertajuk perkahwinan dan keberkatan rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 11:50 PM