PEMENTASAN Bondings di Panggung Eksperimen ASWARA bermula malam ini sehingga 21 Ogos.
PEMENTASAN Bondings di Panggung Eksperimen ASWARA bermula malam ini sehingga 21 Ogos.
Ridzuan Abdul Rahman


Sempena meraikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba, Fakulti Teater Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (ASWARA) mempersembahkan program H.O.M.E (House of Malaysian Encounter).

Projek ini bertujuan menyediakan landasan melangkaui batas bahasa dengan kerjasama penggiat teater yang aktif dalam pelbagai aliran bahasa, bangsa dan budaya.

Jalinan kerjasama antara budaya ini sekali gus menawarkan naratif dan perspektif baharu mengenai kisah rakyat Malaysia.

H.O.M.E juga dibuat sebagai pendekatan alternatif dalam menyemai semangat perpaduan pelbagai etnik yang menjadi tunjang masyarakat harmoni.

Menerusi H.O.M.E, peminat disajikan dengan pementasan Bondings di Panggung Eksperimen ASWARA bermula malam ini sehingga 21 Ogos.

Persembahan pada 20 dan 21 Ogos akan berlangsung dua sesi iaitu jam 3 petang dan 8.30 malam.

Bondings- We Love We Care We Share diarahkan Dr Wong Oi Min dan skripnya ditulis graduan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA, Rabi’ahtuladawyah Md Saleh atau lebih dikenali dengan nama penanya Suri Liu.

Ia melihat perbezaan antara kaum di negara kita sebagai satu nilai kekayaan dan keunikan. Memilih sukan sebagai pendekatan persembahan, Bondings menampilkan tujuh pelakon iaitu Mohammad Faez, Ping Khoo, Zetty Napiah, Mohamad Fahim, Lim Mei Fen, Asyiq Iqmal serta pensyarah Fakulti Teater ASWARA, Shahrul Mizad.

Gabungan kreatif antara pelajar dan pensyarah yang mempunyai latar belakang budaya, agama dan kaum yang berbeza menjadikan persembahan teater ini unik dari segi idea, kreativiti dan nilai artistiknya.

Atas faktor ini juga, persembahan Bondings bakal dibawa menjelajah ke China sempena China-ASEAN Theatre Week di Nanning pada 15 hingga 22 September ini dan Jepun sempena Festival Tokyo 2016 (4 hingga 6 November 2016).

Bondings memaparkan hubungan harmoni rakyat sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Di situ tinggal Peace Rangers, sekumpulan pari-pari yang melindungi rakyat daripada diskriminasi kaum dan mencegah sikap perkauman daripada menular.

Bagaimanapun, kedamaian itu mula terganggu apabila rakyat diminta meninggalkan negara itu.

Mereka berbalah sama ada untuk terus tinggal atau beredar keluar. Apa yang berlaku seterusnya kepada rakyat dan negara itu?

Tiket menonton pementasan ini berharga RM30 untuk pelajar dan RM35 (umum).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 11:31 AM