DRAMATARI legenda Huminodun dipersembahkan untuk segmen pertama Tandak Mengalai ‚ The Exquisite Dances of Sabah & Sarawak.
DRAMATARI legenda Huminodun dipersembahkan untuk segmen pertama Tandak Mengalai ‚ The Exquisite Dances of Sabah & Sarawak.
Redzuan Muharam

Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mempersembahkan himpunan tarian tradisional Sabah dan Sarawak menerusi persembahan Tandak Mengalai ‘The Exquisite Dances of Sabah & Sarawak’ yang bakal diadakan di Panggung Eksperimen, ASWARA pada 8 dan 9 September nanti.

Persembahan itu terbahagi kepada dua segmen iaitu dramatari legenda Huminodun yang berasal dari Sabah untuk bahagian pertama dan kisah perbalahan dua bersaudara iaitu Puteri Santubong dengan Puteri Sejinjang bagi babak berikutnya.

Pensyarah merangkap koreografer Mohd Nur Faillul Adam berkata, persembahan itu dijangka berlangsung selama hampir dua jam membabitkan kira-kira 60 penuntut diploma dan ijazah sarjana muda tahun satu hingga akhir.

Katanya, sejak tahun pertama penganjurannya iaitu pada 2005, pelbagai kelainan cuba diketengahkan dan kali ini, produksi bersepakat mengetengahkan keistimewaan budaya, adat resam serta cara hidup pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak.

“Tahun lalu, produksi memilih kesenian zapin untuk dipersembahkan oleh penuntut yang mengambil bahagian namun sedikit kelainan ditonjolkan kali ini menerusi persembahan kesenian dan kebudayaan dari Sabah dan Sarawak.

“Bagi mendapatkan hasil terbaik, kami menjalin kerjasama dengan Fakulti Muzik, bersesuaian konsep dramatari yang menggabungkan tiga elemen dalam persembahan iaitu lakonan, tarian dan nyanyian.

“Jujurnya, produksi berdepan cabaran besar dalam memuatkan semua elemen berkenaan kerana masa persembahan bagi setiap segmen agak terhad namun kami cuba laksanakan sebaik mungkin demi kepuasan penonton,” katanya.

SISWAZAH Fakulti Tari, Naimsyahrazad (kanan) bersama penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Tari ASWARA, Azammudin Tumiran memperagakan pakaian tradisional Sabah dan Sarawak.
SISWAZAH Fakulti Tari, Naimsyahrazad (kanan) bersama penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Tari ASWARA, Azammudin Tumiran memperagakan pakaian tradisional Sabah dan Sarawak.

Berkongsi lanjut, Mohd Nur Faillul berkata, persediaan selama dua bulan dilakukan oleh semua yang mengambil bahagian bagi menjayakan persembahan berkenaan.

Menurut Mohd Nur Faillul, persediaan itu merangkumi penyertaan dalam bengkel tarian Sabah dan Sarawak serta latihan bermula jam 11 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk pada hujung minggu.

“Persembahan ini diadakan dengan tujuan memberi pendedahan kepada penuntut mengenai cara kerja sebuah produksi profesional dalam menganjurkan sebuah pementasan.

“Matlamat lain adalah memberi pendedahan kepada penonton selain berkongsi keunikan seni dan budaya dari Sabah serta Sarawak dan nilai positif yang ada di dalamnya.

“Pada masa sama, kami juga berharap persembahan ini dapat menaikkan imej ASWARA yang komited dalam memartabatkan seni warisan tempatan menerusi pelbagai program tahunan antaranya Gelombang Baru, Penilaian Tahun Akhir (PeTa), JAMU (koreografi kontemporari pensyarah), TAPESTRY (persembahan tradisional) dan Festival Antarabangsa TARI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 12:21 PM