AHMAD Yatim.
AHMAD Yatim.
SESI latihan teater Macbeth.
SESI latihan teater Macbeth.
SESI latihan teater Macbeth.
SESI latihan teater Macbeth.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Nama seniman Ahmad Yatim tentunya dikenali oleh peminat seni tanah air sekitar era 1980-an. Lakonan hebatnya menerusi filem Abang (1981), Pemburu (1982), Anak Sarawak (1989) dan Perempuan Melayu Terakhir (1999) akan terus diingati sampai bila-bila.

Dia yang bergelar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Abang pada Festival Filem Malaysia ke-2 dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Pemburu pada Filem Malaysia ke-3 kini selesa bergelar pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Terbaru, Ahmad Yatim kini mengadaptasi naskhah Macbeth daripada terbitan Siri Drama Klasik Shakespeare 3, Universiti Malaya, Kuala Lumpur 1975 yang berlangsung di Black Box ASWARA bermula semalam (Jumaat) sehingga Ahad.

Sentuhan Ahmad Yatim ini turut sama menampilkan pensyarah ASWARA yang berpengalaman dalam bidang teater dan filem. Pembabitan mereka dalam produksi adalah satu proses pembelajaran yang unik apabila pelajar turut sama menyaksikan bagaimana proses kerja kreatif dilakukan oleh mereka yang mempunyai lebih pengalaman sekali gus menjadikan ia satu cara pembelajaran yang lebih dinamik.

Timbalan Dekan/Pensyarah, Fakulti Teater ASWARA, Balkis Omar berkata, pementasan ini diadakan sebagai keperluan pembelajaran di bawah subjek Produksi Teater Klasik serta sempena projek tahun akhir (PeTA) oleh pelajar tahun akhir Fakulti Teater.

“Produksi teater ini dikendalikan pelajar Fakulti Teater sendiri dengan bimbingan pensyarah fakulti. Sudah pasti, ramai teruja melihat teater arahan Ahmad Yatim ini.

“Satu lagi teater ialah Rasukan Dendam Hamlet arahan Fasyali Fadzly yang dipentaskan di lokasi sama pada 15 dan 16 Januari ini. Fasyali juga pensyarah ASWARA,” katanya.

Menurut Balkis, menerusi produksi ini lima pelajar tahun akhir Fakulti Teater akan dinilai dari aspek lakonan dan juga sinografi atau rekaan pentas.

“Naskhah ini juga sudah diadaptasi oleh Ahmad Yatim dari terbitan Universiti Malaya dan diolah semula untuk pementasan berdurasi 75 minit menampilkan satu konsep persembahan yang lebih unik dan membawa citra tempatan.

“Pendekatan teater ritual, teater tradisional dan boneka menjadi elemen penting dalam mengadaptasi teks Barat ini ke nuansa tempatan dan Nusantara. Dengan menampilkan pelbagai elemen di dalam satu persembahan, sudah tentunya akan mencabar bakat dan kreativiti pelajar yang dinilai untuk mencapai sesuatu yang membanggakan,” jelasnya.

Sinopsis

Nujuman tiga ahli sihir bahawa dia bakal menjadi raja membulatkan tekad dan kepercayaan panglima perang, Macbeth untuk merampas takhta daripada Raja Duncan dengan membunuhnya.

Akibat dibumbu rasa bersalah dan paranoia, dia berubah menjadi seorang pemerintah penuh curiga dan mula merancang pembunuhan demi pembunuhan sebagai benteng keselamatan diri dan kedudukan daripada musuh serta syak wasangka.

Mandi darah dan perang saudara yang tercetus menjadikan Macbeth dan isterinya angkuh dan tidak siuman. Tiket untuk menonton persembahan ini berharga RM10 dan RM5 untuk pelajar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:02 AM