Abdul Ghafar (kiri) melihat kenderaan mewah yang dirampas oleh polis ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini. FOTO Mikail Ong
Abdul Ghafar (kiri) melihat kenderaan mewah yang dirampas oleh polis ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini. FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Polis Pulau Pinang tumpaskan sindiket curi kenderaan mewah membabitkan kerugian jutaan ringgit dengan tertangkapnya empat lelaki pada 5 dan 13 Ogos lalu.

Suspek ditahan di Kuantan, Pahang dan Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, penahanan keempat-empat lelaki berusia 28 hingga 31 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Task Force dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT).

Katanya, susulan itu pihaknya melakukan serbuan di bengkel di Bukit Tengah dan merampas pelbagai kenderaan mewah termasuk Porsche Cayenne.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan itu juga polis turut menahan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dan turut menemui beberapa lagi kereta mewah pelbagai model termasuk BMW, Mercedes Benz, Mini Cooper, Audi dan Volkswagen.

Katanya, hasil soal siasat yang dilakukan ke atas tiga suspek itu polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 31 tahun di Kuantan, Pahang dan berjaya merampas tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Vellfire yang dilaporkan dicuri di tiga negeri termasuk Pulau Pinang.

"Penangkapan keempat-empat suspek itu berjaya menyelesaikan satu sindiket curi kenderaan mewah dan kejayaan ini juga turut berjaya membantu IPK Selangor dan Pahang serta Pulau Pinang dalam menyelesaikan beberapa kes dan pihaknya kini masih memburu beberapa lagi suspek yang masih bebas," katanya pada sidang media di IPK negeri di sini pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 2:17 PM