HASNAN (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas polis.
HASNAN (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas polis.
Wan Asrudi Wan Hasan dan Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Dua lelaki dipercayai anggota Geng Mamak ‘menyembah bumi’ selepas ditembak mati anggota polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam, di sini, malam kelmarin.

Suspek dikenali Misai dan Ganesh berusia antara 30 hingga 50 tahun dipercayai aktif melakukan pelbagai kegiatan jenayah seperti samun, pecah rumah dan curi kenderaan mewah termasuk mencederakan mangsa sejak lima tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam ketika rondaan cegah jenayah dijalankan Bahagian Jenayah Berat D9 Bukit Aman di kawasan Tanjung Rambutan, polis melihat kereta Toyota Vios berwarna kelabu yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggota cuba menahan suspek, namun kenderaan berkenaan terus memecut laju ke Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam.

Katanya, polis berjaya memintas kereta suspek apabila tiba di satu selekoh dalam usaha menahan suspek lebih 6 kilometer dari pekan Tanjung Rambutan.

“Suspek cuba melanggar kereta polis, tetapi terbabas dan melepaskan empat das tembakan ke arah polis manakala seorang lagi suspek keluar dari kereta sambil melibas parang ke arah anggota polis pada jarak dekat.

“Anggota berkenaan melepaskan tembakan ke arah suspek sehingga tiada ancaman,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Beliau berkata, tiada pengenalan diri dijumpai bersama suspek dan cap jari kedua-dua suspek sudah diambil untuk pengesahan.

Katanya, turut dirampas sepucuk pistol Revolver .38 Special, dua butir peluru hidup dan empat kelongsong peluru, empat bilah parang, kapak, kuku kambing, vest polis, topi mempunyai logo polis dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.

“Siasatan lanjut mendapati, kereta Toyota Vios yang digunakan suspek adalah kereta yang dilaporkan hilang berkaitan laporan polis di Taiping pada 2014,” katanya.

Hasnan berkata, kejayaan berkenaan diperoleh berdasarkan maklumat awam dan siasatan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, anggota JSJ IPK Perak dan JSJ IPK Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:55 AM