KUCING hitam di kafe itu. FOTO Agensi
KUCING hitam di kafe itu. FOTO Agensi
Agensi

Osaka: Sebuah kafe di Himeji menjadi kafe pertama di dunia yang hanya memiliki kucing berwarna hitam sebagai tarikan kepada pelanggan.

Kafe bernama Nekobiyaka itu memberi peluang kepada pelanggannya menikmati kopi sambil bermain dengan kucing.

Di Jepun, terdapat ratusan kafe kucing, namun Nekobiyaka menjadi satu-satunya premis yang menawarkan pengalaman membelai kucing berwarna hitam.

Dibuka pada 2013, kafe berkenaan menjadi antara tarikan utama pelancong tempatan dan luar negara di Himeji.

Oddity Central melaporkan pemiliknya, Yagi mendapat idea itu selepas mahu menjadikan kafenya sebagai lokasi ideal untuk orang ramai bermanja dengan kucing hitam.

Ia juga mengelakkan haiwan berkenaan berkeliaran di jalanan.

Ini memandangkan tidak ramai orang di Jepun yang mahu membela kucing berwarna hitam dan menyebabkan banyak kucing dengan warna itu hidup dalam keadaan menyedihkan.

Selain itu, ada juga yang percaya bahawa kucing hitam akan membawa nasib malang, meskipun ia adalah perkara mengarut.

Pada satu-satu masa, sekurang-kurangnya 10 kucing hitam dengan setiap satunya mempunyai kolar khas akan dibiarkan bergerak bebas di dalam kafe berkenaan.

Yagi turut menggalakkan orang ramai untuk mengambil kucing berkenaan untuk dipelihara sebagai haiwan peliharaan.

Setiap kali seekor kucing mendapat penjaga baharu, dia akan mengambil kucing lain untuk dari pusat kebajikan haiwan sebagai 'ganti' untuk diletakkan di kafenya.

Setakat April lalu, sebanyak 321 kucing hitam sudah mempunyai tuan baharu.

Namun, sejak Covid-19 melanda negara itu, perniagaan kafe itu turun mendadak kerana ketiadaan pelancong.

Ia menyebabkan Yagi kini terpaksa mendapatkan bantuan masyarakat untuk membeli keperluan haiwan itu menerusi media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 6:30 AM