Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan dana tambahan RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun bagi skim pelaburan terbarunya Simpanan Shariah sekiranya segmen pelaburan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pencarum.

Ketika ini, KWSP memperuntukkan dana RM100 bilion iaitu kurang 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion sehingga akhir Mac 2016 yang mana ia diagihkan untuk Simpanan Shariah 2017 berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata untuk melayakkan diri bagi Simpanan Shariah 2017, ahli perlu mengemukakan permohonan mereka sebelum 23 Disember ini dan tertakluk kepada kesediaan dana RM100 bilion.

“Untuk majikan, proses pencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama. Tiada perubahan atau borang lain yang perlu diisi oleh majikan untuk pekerja memilih Simpanan Shariah.

“Keputusan untuk menukar kepada Simpanan Shariah adalah tertakluk kepada ahli sendiri dan ahli dinasihatkan untuk memahami konsep simpanan berkenaan terlebih dulu sebelum memutuskan untuk menukar dari simpanan KWSP konvensional,” katanya pada media hari pertama pendaftaran Simpanan Shariah di sini, semalam.

Sehingga jam 8.30 pagi semalam, kira-kira 5,000 ahli KWSP sudah memohon untuk memindahkan simpanan masing-masing kepada Simpanan Shariah di 68 cawangannya di seluruh negara.

Ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional kepada Simpanan Shariah perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP dan membawa MyKad untuk pengesahan cap jari manakala ahli bukan warganegara Malaysia perlu membawa pasport.

Ridza berkata, dari segi peruntukan aset, ia sama dengan dana konvensional sedia ada namun dana syariah berkenaan akan memberi tumpuan kepada penstabilan modal.

“Peruntukan tambahan ini bergantung kepada ketersediaan aset untuk dilabur. Namun secara umumnya, kami melihat kepada trend pertumbuhan aset syariah di Malaysia dan boleh menjangkakan dapat memperuntukkan RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun,” katanya.

Sementara itu, langkah KWSP membenarkan ahlinya memilih untuk melabur dalam dana unit amanah yang 100 peratus dilaburkan di luar negara baru-baru ini bertujuan memberi peluang kepada kepelbagaian aset untuk mereka.

Berkuat kuasa 1 Ogos, KWSP membenarkan ahli melabur dalam dana unit amanah yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaburan luar negara. Sebelum ini, KWSP hanya membenarkan pelaburan dalam dana unit amanah yang mempunyai pendedahan asing tidak lebih daripada 30 peratus.

Sehingga Disember 2015, KWSP mempunyai 14.55 juta ahli dan daripada jumlah itu, 6.79 adalah ahli yang aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 9:21 AM