ORANG ramai menunggu giliran untuk menukar akaun konvensional kepada akaun Simpanan Shariah ketika hadir di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Seberang Jaya yang bermula hari ini di pejabat KWSP seluruh negara. FOTO Amir Irsyad Omar
ORANG ramai menunggu giliran untuk menukar akaun konvensional kepada akaun Simpanan Shariah ketika hadir di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Seberang Jaya yang bermula hari ini di pejabat KWSP seluruh negara. FOTO Amir Irsyad Omar
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan tambahan RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun bagi konsep pelaburan terbarunya, Simpanan Syariah sekiranya segmen pelaburan itu mendapat sambutan daripada pencarum.

Ketika ini, KWSP memperuntukkan dana RM100 bilion iaitu kurang 15 peratus daripada keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion sehingga akhir Mac 2016 yang mana ia diperuntukkan untuk Simpanan Syariah 2017 berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, untuk melayakkan diri bagi Simpanan Syariah 2017, ahli perlu mengemukakan permohonan mereka sebelum 23 Disember ini dan tertakluk kepada kesediaan dana RM100 bilion.

"Untuk majikan, proses pencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama. Tiada perubahan atau borang lain yang perlu diisi oleh majikan untuk pekerja memilih Simpanan Syariah.

"Keputusan untuk menukar kepada Simpanan Syariah adalah tertakluk kepada ahli sendiri dan menasihati ahli untuk memahami konsep simpanan berkenaan terlebih dulu sebelum memutuskan untuk menukar dari simpanan KWSP konvensional," katanya pada hari pendaftaran pertama Simpanan Syariah di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 11:47 AM