Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 25.09 peratus atau RM25.1 bilion daripada peruntukan permulaan RM100 bilion untuk Simpanan Shariah 2017 sudah digunakan sejak ditawarkan 8 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, jumlah pendaftaran Simpanan Shariah pada minggu pertama sangat memberangsangkan.

“Kami percaya lebih ramai ahli akan ke kaunter untuk mendaftar Simpanan Shariah 2017. Sehingga kini, sebanyak 208,795 jumlah terkumpul pendaftaran Simpanan Shariah direkod. Secara purata pula, lebih 40,000 pendaftaran sehari untuk minggu pertama.

“Kami menjangkakan antara RM20 bilion dan RM30 bilion akan disuntik ke dalam Simpanan Shariah setiap tahun, tertakluk kepada permintaan ahli dan ketersediaan aset,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Menurutnya, ahli masih boleh menukar kepada Simpanan Shariah walaupun jumlah peruntukan permulaan RM100 bilion sudah digunakan pada 2017.

Bagaimanapun, ahli diingatkan bahawa tarikh tutup pendaftaran Simpanan Shariah 2017 adalah pada 23 Disember 2016, tertakluk kepada dana RM100 bilion yang diperuntukkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 7:20 AM