GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Akaun simpanan shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat berpotensi besar untuk menghasilkan agihan pulangan seiring atau lebih baik berbanding simpanan konvensional.

KWSP sebelum ini mengumumkan kadar dividen 2023 lebih tinggi, iaitu sebanyak 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus bagi simpanan shariah.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peningkatan keuntungan pelaburan KWSP bagi suku pertama hingga ketiga 2023 adalah cukup baik sehingga ia mencecah hampir RM47 bilion daripada jumlah dana yang diuruskannya (RM1.1 trilion).

Katanya, KWSP turut mengumumkan pelaburan untuk keseluruhan tahun 2023 adalah sebanyak RM66 bilion.

"Jadi daripada RM66 bilion pelaburan oleh KWSP itu, sebanyak RM57 bilion diberikan kepada semua pencarum yang mana RM50.3 bilion untuk penyimpan simpanan konvensional dan sebanyak RM7.5 billion kepada penyimpan akaun shariah.

"Ini yang hendak saya ketengahkan yang mana 'bakul' simpanan shariah ini masih lagi kecil iaitu hanya RM7.5 bilion berbanding RM50.3 bilion simpanan konvensional.

"Malah, (ia) menunjukkan belum ramai lagi pencarum beragama Islam belum bertukar kepada akaun shariah.

"Sekiranya lebih ramai pencarum bertukar kepada akaun simpanan shariah, maka dana itu akan menjadi lebih besar sekali gus mempunyai ekonomi skala dan boleh melabur serta mengurangkan risiko yang bersangkutan dengannya.

"Kita maklum bahawa pelaburan shariah bukan mudah kerana ia tidak boleh melabur pada semua pelaburan yang menguntungkan seperti konvensional kerana ada kepatuhan terhadap peraturan shariah.

"Justeru, saya ingin mengajak terutamanya kepada orang Islam di Malaysia yang mempunyai akuan simpanan KWSP supaya beralih kepada akuan simpanan shariah supaya kita mendapat pulangan yang lebih baik," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, tidak mustahil pulangan dividen simpanan shariah akan berkembang lebih besar kerana melihat kepada jumlah sebelum ini yang kurang daripada lima peratus, kini ia sudah mencapai 5.4 peratus.

Statistik KWSP sehingga 31 Disember tahun lalu menunjukkan hanya 20.1 peratus pencarum beragama Islam memilih simpanan shariah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 1:35 PM