London: Sadio Mane hanya memerlukan beberapa sesi latihan untuk membuktikan kemampuan serta apa yang boleh disumbangkannya kepada pasukan.

Pemain sayap Adam Lallana (gambar) muncul wira Reds ketika membenam Barcelona 4-0 di Stadium Wembley pada perlawanan pramusim menerusi persembahan yang cukup cemerlang.

Lallana berkata, skuad kendalian Jurgen Klopp itu sudah semakin bersedia dan peminat boleh menyaksikan semangat mereka setiap kali menjalani latihan di padang.

“Saya dapat melihat kualiti dimilikinya. Saya tahu apa yang boleh diberikannya kepada pasukan, lihat saja apa dilakukannya ketika pramusim,” katanya.

“Anda cuma melihat kehebatannya ketika kami menentang Barcelona tapi saya sudah menyaksikannya ketika dia berlatih.

“Saya tidak bimbang dengannya. Saya yakin dia akan menyesuaikan diri dengan lebih cepat.

“Saya nampak apa yang mampu dia sumbangkan untuk pasukan. Dia mempunyai kualiti yang berbeza berbanding dengan apa yang kami miliki. Dia sukar dijangka.”

Kehadiran Mane bermakna Klopp pasti berdepan kesukaran untuk memilih pemain ketika jentera serangan pasukannya mempunyai ramai pemain berkualiti di bahagian depan.

“Tetapi ia bukan satu masalah besar,” kata Lallana. “Sadio boleh bermain di mana-mana posisi. Dia boleh bermain di bahagian tepi, tengah dan sebagainya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 9:15 AM