KLOPP tegaskan Mane masih lagi dalam proses pemulihan. -Foto Agensi
KLOPP tegaskan Mane masih lagi dalam proses pemulihan. -Foto Agensi

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp keliru dengan dakwaan pengurus Senegal, Aliou Cisse yang mengatakan Sadio Mane cergas sepenuhnya untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia bulan depan.

Kekeliruan itu timbul selepas kelab itu mendapati Mane bakal tersisih untuk tempoh enam minggu ekoran kecederaan hamstring yang dialami ketika tugasan antarabangsa awal bulan lalu.

Namun Cisse tetap menyenaraikan nama pemain 25 tahun itu dalam skuad Senegal bagi menghadapi Afrika Selatan, pertengahan November.

“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh tahu,” kata Klopp pada sidang media menjelang aksi Liverpool menentang Tottenham Hotspur, malam esok. “Sadio masih dalam proses pemulihan, jadi itulah situasinya sekarang.

“Jika dia cergas lebih awal, saya pasti gembira namun buat masa sekarang tiada siapa tahu. Tidak ada apa lagi yang boleh dikatakan. Mereka memiliki perlawanan penting dan saya fikir mereka memerlukan satu mata untuk layak.

“Saya dapat rasakan yang mereka kini tertekan namun kami tidak boleh menukar situasi itu.”

Minggu lalu, pertahanan Liverpool itu berjaya mengekang penyerang Manchester United, Romelu Lukaku daripada terus menghasilkan jaringan selepas penyerang lawan itu cemerlang meledak gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Bagaimanapun, Klopp bertegas penyerang Tottenham, Harry Kane, yang kini meledak 15 gol bersama Spurs dan England dalam 12 perlawanan memiliki pengaruh lebih besar berbanding Lukaku.

“Bezanya, walaupun tidak menjaringkan gol, Harry lebih banyak terbabit dalam permainan. Namun saya yakin Lukaku juga boleh lakukannya.

Harry tidak hanya penyerang terbaik di Eropah tetapi dia adalah salah seorang penyerang terbaik di dunia. Semua orang tahu, begitu juga dengan Dele Alli dan Christian Eriksen. Mereka kini berada pada tahap terbaik.”

- REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 1:02 PM