KLOPP puas selepas anak buah benam West Ham.
KLOPP puas selepas anak buah benam West Ham.
Reuters

LONDON: Pengurus Liverpool Juergen Klopp memuji pemainnya kerana berjaya menyesuaikan diri dengan sistem baru selepas membelasah West Ham United awal pagi tadi.

Dua minggu lalu Liverpool meninggalkan ibu kota negara itu dengan kekecewaan selepas dibelasah Tottenham 4-1 di Wembley namun sejak itu mereka merekodkan 10 gol dan bolos satu jaringan.

“Kami mengubah sistem dan semalam kali pertama kami melaksanakannya, iaitu 4-4-2 yang mungkin pada mulanya kelihatan sepertu formasi menyerang,” kata Klopp yang sebelum ini dikritik berikutan taktikalnya ketika menentang Tottenham, memberitahu media selepas kelab itu berkongsi mata dengan Chelsea dan Arsenal di tangga keenam.

PEMAIN Liverpool, Joel Matip (tengah) menjaringkan gol untuk Reds. FOTO/AFP
PEMAIN Liverpool, Joel Matip (tengah) menjaringkan gol untuk Reds. FOTO/AFP

“Kami mempunyai idea berbeza - kami mahu lebih banyak bertahan, lebih padu dan memanfaatkan ruang untuk serangan balas. Kita tidak akan tahu bagaimana keadaannya jika tidak kerana gol pertama. Kami perlu membiasakan diri dengannya.

“Ia kelihatan seperti formasi menyerang tetapi sebenarnya lebih kepada bertahan. Kami mempunyai dua No 6, No 6 sebenar, dua pemain tengah di bahagian sayap menerusi Sadio (Mane) and (Alex) Oxlade-Chamerlain dan Roberto (Firmino) dan Mo (Salah) perlu bertahan. Ia membantu benteng terakhir dan itulah yang kami lakukan.

“Ia satu formasi gerakan balas yang memanfaatkan kepantasan kami daripada bahagian pertahanan. Keputusan 3-0, 3-0, 4-1, ia benar-benar minggu yang hebat.

“Saat yang terbaik untuk berehat seketika.”

 SALAH sujud syukur selepas menledak gol kedua. FOTO/AFP
SALAH sujud syukur selepas menledak gol kedua. FOTO/AFP

Klopp kehilangan kapten Jordan Henderson, yang diketepikan akibat kecederaan dan Philippe Coutinho, namun teruja dengan kepulangan Sadio Mane selepas hampir sebulan tidak beraksi berikutan masalah hamstring.

Mane beraksi selama 77 minit biarpun hanya menyertai dua sesi latihan, manakala Georginio Wijnaldum bertahan hingga ke akhir perlawanan meskipun hampir pasti terlepas perlawanan berikutan kecederaan buku lali.

Kepantasan penyerang Senegal Mane mengucar-kacirkan pertahanan West Ham dan Klopp berkata kepulangannya menyuntik semangat pasukan.

“Sadio seorang pemain yang cergas, dia bagaikan sebuah jentera kecil. Anda boleh melihatnya menikmati latihan berintensiti tinggi.

“Saya katakan dia sedia bermain untuk 25 minit tetapi dia bermain lebih daripada itu dan ia baik untuk kami. Kami membawa masuk Mane selepas satu sesi latihan. Secara jujurnya, saya tidak pernah melakukannya sebelum ini. Ia bukan idea terburuk pernah saya lakukan!”

KEDUDUKAN pengurus West Ham, Slaven Bilic makin goyah selepas tewas kepada Liverpool.  FOTO/AFP
KEDUDUKAN pengurus West Ham, Slaven Bilic makin goyah selepas tewas kepada Liverpool. FOTO/AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 12:33 PM