MANE (kiri) rai jaringan bersama rakan sepasukan.
MANE (kiri) rai jaringan bersama rakan sepasukan.

London: Pemain baru Sadio Mane menjaringkan satu gol dan mencipta satu peluang ketika Liverpool menewaskan Barcelona 4-0 dalam perlawanan persahabatan berat sebelah di Wembley semalam.

Mane, dibeli dari Southampton dengan harga 34 juta pound (RM179.5) menjaringkan gol seawal minit ke-15 perlawanan dan kemudiannya melakukan hantaran yang disambut bekas pemain Liverpool Javier Mascherano ke gawang sendiri.

Divock Origi menjaringkan gol ketiga beberapa saat kemudian sebelum pemain gantian Marko Grujic menanduk masuk pada minit terakhir bagi membolehkan skuad Jurgen Klopp mencatat kemenangan keenam dalam lapan perlawanan pramusim.

“Saya gembira dengan keputusan dan berpuas hati dengan permainan mereka,” kata Klopp yang kehilangan James Milner berikutan kecederaan tumit pada separuh masa.

“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap perlawanan ini tapi ia masih cukup baik buat kami. Saya tidak fikir kami lebih rendah berbanding Barcelona sebelum perlawanan dan kami tidak rasa lebih hebat daripada mereka selepas perlawanan.”

Liverpool menentang Mainz, salah satu bekas kelab kendalian Klopp dalam satu perlawanan persahabatan di Jerman hari ini sebelum berdepan Arsenal dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris hujung minggu depan.

Kekalahan Barcelona bermakna Paris Saint-Germain menjuarai kejohanan persahabatan Piala Juara-Juara Antarabangsa untuk tahun kedua berturut-turut.

Jurulatih Barcelona Luis Enrique kehilangan khidmat Neymar yang kini bersama skuad tuan rumah Brazil di Sukan Olimpik namun menurunkan bekas penyerang Liverpool Luis Suarez dan Lionel Messi yang sepakannya terkena tiang pada separuh masa pertama.

Barca berdepan Sampdoria di Camp Nou pada perlawanan persahabatan pra-musim terakhir Rabu ini dan menghadapi Sevilla pada perlawanan pertama Piala Super Sepanyol 14 Ogos ini.

“Sejak awal lagi kami melihat dua pasukan dengan rentak permainan berbeza,” kata Luis Enrique.

“Jelas sekali ia bukan hari terbaik kami. Namun kami mempunyai tempoh persediaan yang cukup dan tidak syak lagi kami mampu menjadi kompetitif.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 1:00 PM