MANE (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dan Klopp (bawah).
MANE (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dan Klopp (bawah).

London: Penekanan terhadap semangat berpasukan yang dicetuskan jurulatih Jurgen Klopp membuatkan Sadio Mane tidak lagi kekok untuk berada di Liverpool.

Mane menunjukkan persembahan yang menarik sejak berpindah dari Southampton dan dia bermain cemerlang sepanjang pertemuan pra musim terutama ketika menentang Barcelona di Wembley.

Pemain berusia 24 tahun itu meneruskan kecemerlangannya ketika perlawanan pembukaan Liverpool di Arsenal, Ahad lalu dan dia juga meledak gol keempat Reds yang menang 4-3 ke atas tuan rumah.

Klopp mempunyai banyak pilihan di posisi depan pasukannya musim ini dan ketika Mane masih memburu tempat di dalam kesebelasan utama, suasana di dalam pasukan banyak membantunya untuk selesa di Anfield.

Pemain yang menyarung jersi nombor 19 itu memberitahu Liverpoolfc.com: “Saya gembira dapat berada di sini. Kami sentiasa berusaha untuk bermain baik tidak kira sama ada dalam perlawanan atau latihan.

“Saya gembira kerana semuanya berjalan dengan baik. Semangat berpasukan kami sangat tinggi dan jurulatih memberikan kami yang terbaik. Bagi saya, kaedah yang diperkenalkan jurulatih amat penting.

“Saya rapat dengan semua orang. Saya cuba memberikan apa yang saya mampu. Saya kagum dengan suasana di Liverpool tambahan pula kami mempunyai pasukan yang kuat dengan kualiti hebat.

“Kami perlu melakukan apa saja sebagai satu pasukan dan jika ia dapat dikekalkan, sudah tentu kami akan lebih berjaya.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 11:36 AM